Kekalkan tsunami PN sehingga PRN

Ahmad Fakhruddin
Ahmad Fakhruddin
A
A
A

ALOR SETAR - Tsunami Perikatan Nasional (PN) yang melanda beberapa negeri harus dikekalkan sehingga diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN), khususnya di Kedah yang menyaksikan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pesuruhjaya II Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, momentum kemenangan pada PRU15 itu perlu diterjemahkan menerusi khidmat terbaik kesemua 13 ahli Parlimen PN agar terus diberikan kepercayaan berdepan saingan PRN yang dijangka diadakan tahun hadapan.

Ahli Parlimen Kuala Kedah itu berkata, kemenangan PN membolot hampir keseluruhan kerusi Parlimen di Kedah diyakini akan memberikan satu impak besar pada PRN akan datang.

“Ahli Parlimen PN di negeri ini harus berikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat untuk kita kekalkan momentum sehingga diadakan PRN, agar kerajaan negeri kekal stabil mentadbir hingga habis tempoh penggal,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Ahmad Fakhruddin menegaskan, kepercayaan yang diberikan rakyat itu merupakan modal untuk ahli Parlimen PN menunjukkan keprihatinan kerajaan PN dengan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Beliau turut mengingatkan rakyat bahawa tanggapan yang melabel kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sebagai kerajaan pintu belakang adalah persepsi yang sengaja dicetuskan Pakatan Harapan (PH).

“Sebenarnya tidak berlaku pintu belakang dalam politik ini, cuma kaedah itu cuba digambarkan mengikut persepsi yang dimainkan PH ketika itu, untuk memburukkan PN yang mengambil alih pentadbiran mengikut lunas Perlembagaan selain mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tugas setiap ahli Parlimen PN untuk mengangkat kembali kebaikan yang telah dilakukan kerajaan PN ketika mentadbir negara.

Artikel Berkaitan:

Keputusan PRU15 menyaksikan PN membolot 13 kerusi Parlimen dan hanya Parlimen Sungai Petani dimenangi PH, manakala Parlimen Padang Serai akan ditentukan pada 7 Disember depan.

“Saya beranggapan berlaku keseimbangan isu-isu di peringkat nasional dan negeri yang menyumbang kepada kemenangan PN. Di peringkat negeri, isu bekalan air sedang dalam tindakan walaupun memakan masa. Saya percaya disiplin dan komitmen kerajaan negeri menyebabkan rakyat dapat membuat penilaian.

“Peringkat Persekutuan, kerajaan PN ketika itu berjaya membawa masuk pelabur selain komitmen yang memperlihatkan kaedah yang telus, bersih dan cekap,” jelasnya.

Ahmad Fakhruddin percaya sentuhan Muhyiddin menerusi pendekatan ‘abah’ berjaya memikat hati rakyat yang diterjemahkan menerusi undi pada PRU15.

“Ketika pilihan raya, itulah masa terbaik bagi rakyat membalas jasa Muhyiddin yang memperlihatkan keprihatinan kerajaan PN ketika itu, saya percaya itulah faktor yang membuatkan berlakunya tsunami PN bukan setakat di Kedah tetapi seluruh negara,” ujarnya.

Keputusan PRU15 menyaksikan Ahmad Fakhruddin berjaya menembusi kubu kuat Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama tiga penggal di Parlimen Kuala Kedah dengan majoriti 28,061 undi.

“Saya sudah bersedia pikul amanah dan akan bawa suara dari Kuala Kedah merangkumi tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Anak Bukit, Kubang Rotan dan Pengkalan Kundur ke peringkat tertinggi,” katanya.