Tak sempat bawa pelancong asing, 'ulat' dicekup di KLIA 2

JPJ Selangor menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire manakala pemandunya ditahan untuk siasatan kerana menawarkan khidmat 'ulat' di KLIA 2, Sepang. - Foto JPJ Selangor
JPJ Selangor menyita sebuah kenderaan jenis Toyota Vellfire manakala pemandunya ditahan untuk siasatan kerana menawarkan khidmat 'ulat' di KLIA 2, Sepang. - Foto JPJ Selangor
A
A
A

SEPANG - Pelancong asing terkedu selepas menyedari khidmat kereta sewa mewah yang ditawarkan kepada mereka tidak berlesen dan beroperasi secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) di sini pada Ahad.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, kegiatan lelaki yang memandu Toyota Vellfire itu dikesan pihaknya hasil intipan dan risikan.

Menurutnya, ketika ditahan, pemandu lelaki berusia 43 tahun itu sedang memasukkan bagasi penumpang ke dalam kenderaan.

"Siasatan mendapati pemandu atau 'ulat' itu telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada lima penumpang warga India dari KLIA 2 ke Jinjang.

"Penumpang itu dikenakan bayaran tambang RM110 dan akan dibayar apabila sampai di destinasi," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau berkata, Toyota Vellfire itu kemudian disita manakala pemandu terbabit ditahan untuk siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

"Mereka yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) bawah akta yang sama," tegasnya

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, orang awam dinasihatkan agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA, KLIA2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing.

"Penguatkuasaan ini akan dilaksanakan secara berterusan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap pemandu atau pemilik kenderaan yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa secara haram," jelasnya.