A
A

SEREMBAN - [DIKEMASKINI] BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Rantau dengan majoriti 4,510 undi pada PRK hari ini.

Calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan memperoleh 10,397 undi menewaskan calon PH, Dr S Streram yang mendapat 5,887 undi.

Dua calon Bebas iaitu R Malar memperolehi 83 undi manakala Mohd Nor Yassin dengan 79 undi sekali gus hilang wang deposit.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Rantau, Mohd Nizam Tajul Arus tepat jam 8.45 malam selepas selesai pengiraan undi di Dewan Serbaguna Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan di sini sebentar tadi.

Beliau berkata, undi ditolak yang diterima adalah berjumlah 146 dan peratusan keluar mengundi direkodkan sebanyak 79.31 peratus.

Kemenangan Mohamad itu membuktikan rakyat Rantau masih memerlukan khidmatnya sebagai ADUN meskipun kini berada dalam kem pembangkang.

Kejayaan BN hari ini merupakan hatrik apabila menang pada PRK Cameron Highlands (26 Januari) dan Semenyih (13 April) lalu.

Mohamad yang merupakan anak jati Rantau mula bertanding di kerusi itu pada PRU11 pada 2004, menewaskan calon PKR ketika itu Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard dengan majoriti 6,199 undi.

Beliau mengekalkan rekod cemerlang dengan menewaskan calon wanita PKR, Aishah Lamsah, dua kali berturut-turut iaitu pada PRU12 dan PRU13, masing-masing dengan majoriti 3,783 undi dan 4,613 undi.

PRK DUN Rantau diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November tahun lalu yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Pada PRU14, Mohamad menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas lawannya, Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan SPR.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia