Banduan wanita mahu tebus 'masa yang hilang' bersama anak

Kamariah memeluk dua anak perempuannya semasa ditemukan dalam program Jalinan Kasih di Penjara Simpang Renggam, Kluang, pada Ahad.
Kamariah memeluk dua anak perempuannya semasa ditemukan dalam program Jalinan Kasih di Penjara Simpang Renggam, Kluang, pada Ahad.
A
A
A

KLUANG - Sekiranya masa boleh diputar semula, Kamariah yang kini menjalani hukuman di Penjara Simpang Renggam di sini mahu menghabiskan seluruh hidupnya untuk membesarkan dua anaknya selepas lebih dua tahun tidak dapat menunaikan tanggungjawab itu.

Kamariah (bukan nama sebenar), 41, mendakwa, semua itu terjadi selepas terlibat secara tidak langsung dengan satu kes jenayah.

Dia yang yang ditahan sejak tahun 2020 di penjara itu berharap dapat dibebaskan segera walaupun tidak tahu bila hari bahagia tersebut akan menjelang tiba.

Ibu kepada dua anak berusia lima dan tujuh tahun itu percaya kebenaran akan muncul juga selepas mahkamah mendapatinya tidak bersalah.

Tidak tahu bila saya akan dibebaskan namun saya amat kesal apabila turut dilibatkan bersama (melakukan jenayah) hanya kerana bersama dengan orang yang benar-benar dipercayai sebelum ini.

"Walau apapun, semua ini akan dijadikan pengajaran hidup pada masa akan datang agar tidak mempercayai seseorang sepenuhnya demi mencari kehidupan lebih sempurna," katanya ditemui dalam program Jalinan Kasih di Penjara Simpang Renggam, pada Ahad.

Katanya, dua anaknya itu diserahkan kepada ibu dan ayahnya sementara menunggu masa untuk dibebaskan.

Kamariah berharap dua anaknya itu akan memahami segala yang berlaku kepadanya walaupun masih tidak mengenal erti kehidupan sebenar.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, dia menyifatkan program yang dianjurkan pihak Penjara Simpang Renggam itu amat besar ertinya kerana merupakan satu usaha merapatkan silaturahim dan menjadi penyambung kasih sayang antara keluarga.

"Alhamdulilah, masa tiga jam yang diberikan ini akan digunakan sebaiknya untuk kami bersama dan sekurang-kurangnya boleh dijadikan penawar rindu yang dipendam sejak lebih dua tahun terpisah," katanya.