PM disaran pegang portfolio Menteri Perpaduan

Lee Lam Thye
Lee Lam Thye
A
A
A

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disarankan agar memegang portfolio Menteri Perpaduan bagi memperkasakan masyarakat di bawah pemerintahan kerajaan baharu.

Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Perpaduan Malaysia, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, seperti mana kebiasaannya Perdana Menteri memegang satu lagi portfolio seperti Kewangan ataupun Pendidikan.

Menurut beliau, perpaduan adalah salah satu portfolio yang penting dan perlu diberi perhatian sewajarnya.

"Anwar terkenal dengan ucapannya 'anak Melayu, anak Cina, anak India, anak Kadazan Dusun, semua anak saya'. Itu antara figura yang bukan sahaja diterima oleh pelbagai kaum malah dihormati dan boleh menjadi ikon perpaduan yang menyatu padukan rakyat.

"Justeru, diharapkan Anwar mengambil langkah tepat bagi memastikan kerajaan ini stabil dan tidak wujud perpecahan antara ahli politik sekaligus memberi kesan kepada rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Lam Thye juga mengusulkan cadangan lain antaranya melantik seseorang daripada Sabah atau Sarawak bagi memegang portfolio perpaduan jika Perdana Menteri mungkin menumpukan terhadap satu jawatan sahaja tanpa pertindihan kuasa.

Tambahnya, ia berikutan prestasi cemerlang Sabah dan Sarawak dalam menguruskan rakyat yang hidup pelbagai kaum tetapi tetap bersatu.

"Ini juga dapat mengetengahkan pengalaman kehidupan harmoni di Borneo untuk dipraktikkan dalam masyarakat di Semenanjung yang sudah terbiasa dengan semangat perkauman.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat juga digesa supaya berfikir sebelum menerima segala sentimen dan perkara sensitif melibatkan perkauman yang cuba dibawa oleh sesiapa sahaja pada ketika ini," ujarnya.

Selain itu, setiap ahli parti politik tidak dengan sengaja menyemarakkan api perkauman dan cuba memainkan sentimen yang boleh mencetuskan perbalahan semua pihak.

"Undang-undang berkenaan perkauman harus diperketatkan bagi mengawal perpaduan di negara ini.

"Rukun Negara sebagai asas dalam pembentukan jati diri di samping pengukuh perpaduan merupakan satu senjata ampuh yang boleh dipraktikkan agar berjaya menyatu padukan rakyat," jelasnya.