PH tak beri 'gula-gula' kepada BN bentuk kerajaan Pahang

Ahmad Nizam (gambar kecil) menegaskan PH tidak memberikan sebarang syarat khusus kepada BN dalam pembentukan kerajaan perpaduan di Pahang.
Ahmad Nizam (gambar kecil) menegaskan PH tidak memberikan sebarang syarat khusus kepada BN dalam pembentukan kerajaan perpaduan di Pahang.
A
A
A

TEMERLOH - Pengarah Strategi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Ahmad Nizam Hamid menegaskan parti itu tidak memberikan sebarang syarat khusus atau pun 'gula-gula pelincir' dalam pembentukan kerajaan perpaduan di Pahang bersama Barisan Nasional (BN).

Beliau mengulas sedemikian susulan kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional(PN) Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah pada Ahad yang mempersoalkan gula-gula yang ditawarkan PH bagi pembentukan tersebut.

"Kita tidak terkejut dengan persepsi beliau (Saifuddin) semua benda mesti ada pelincir tapi tidak berasaskan keikhlasan, kejujuran dan demi kepentingan rakyat.

"Kita tidak memberikan apa-apa syarat kepada BN jadi soal pelincir tidak timbul, kalau ada syarat pun iaitu untuk memajukan dan demi kemaslahatan rakyat negeri Pahang.

"Cukup-cukuplah untuk bermain politik dan menyebarkan pengaruh politik kepartian," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Dalam pada itu, Nizam memberitahu rundingan berjalan dalam suasana harmoni, saling menghormati dan tiada unsur-unsur menafikan pihak lain.

"Walaupun PN memiliki kelebihan satu kerusi berbanding BN tapi hakikatnya tiada majoriti untuk membentuk kerajaan, begitu juga BN jadi kita memulakan perbincangan. Asasnya demi kepentingan untuk Pahang bukan kerana politik kepartian seperti yang ada dalam PN," tambah beliau.

Sementara itu, Nizam memberitahu, jawatan Menteri Besar Pahang ditawarkan kepada BN berdasarkan jumlah kerusi dimenangi BN lebih banyak berbanding PH.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kita tahu kemampuan dan prestasi yang dipamerkan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebelum ini," ujar beliau.