Calon BN di Tioman sambut baik kesediaan calon PH beri laluan

Mohd Johari menyantuni masyarakat Rompin ketika berkempen sempena PRU15 DUN Tioman di Pasar Minggu Kuala Rompin pada Ahad. - Foto Bernama
Mohd Johari menyantuni masyarakat Rompin ketika berkempen sempena PRU15 DUN Tioman di Pasar Minggu Kuala Rompin pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A
ROMPIN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Datuk Seri Mohd Johari Hussain menyambut baik kesediaan calon Pakatan Harapan (PH) Mohd Fadzli Mohd Ramly untuk memberikan laluan kepadanya, jika diarahkan pucuk pimpinan tertinggi parti.

Mohd Johari berkata, perkara itu melambangkan kematangan politik yang tinggi susulan keputusan PH memberikan sokongan kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri Pahang, selain mengambil kira perkembangan politik di peringkat Pusat.

"Saya mengambil positif dengan kenyataan yang dibuat rakan-rakan di PH yang memberi sokongan kepada saya dalam memastikan hala tuju kerajaan negeri Pahang ditunjangi BN untuk membentuk kerajaan baharu.

"Ini kita boleh katakan sebagai kerajaan perpaduan yang sangat harmoni,” katanya kepada Bernama pada sesi walkabout di Pasar Minggu Rompin di sini pada Ahad.



Mohd Johari berkata, beliau difahamkan perkara itu telah dibincangkan di peringkat kepimpinanan negeri namun tiada keputusan setakat ini.

Sebelum ini, Mohd Fadzli menyatakan kesediaan memberi laluan kepada calon BN jika diarahkan Majlis Presiden PH bagaimanapun tiada arahan rasmi dikeluarkan setakat ini.

Keputusan PRU15 menyaksikan DUN Pahang tergantung selepas tiada parti memperoleh majoriti mudah 22 kerusi bagi membentuk kerajaan.

BN meraih 16 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) mendapat 17 dan lapan kerusi dimenangi PH.

Sehubungan itu, Pengerusi PH Pahang, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, mereka memberi sokongan rasmi kepada BN untuk membentuk kerajaan negeri.

PRU15 DUN Tioman ditangguhkan kepada 7 Disember ini susulan kematian calon PN, Md Yunus Ramli, 61, pada 3.30 pagi hari pengundian 19 November lepas, dipercayai akibat serangan jantung.
Artikel Berkaitan:


Selain Mohd Fadzli dan Mohd Johari, turut bersaing pada pilihan raya itu ialah calon PN Nor Idayu Hashim, Osman A. Bakar (Pejuang) dan Sulaiman Bakar (Bebas).

Daftar Pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan mengandungi 28,465 pemilih terdiri daripada 28,200 pengundi biasa, 262 anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara. - Bernama