Yayasan JDT sasar keahlian 200,000

Tunku Aminah (kanan) dan Mohd Noorazam (dua,kanan) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Yayasan JDT, di sini hari ini.
Tunku Aminah (kanan) dan Mohd Noorazam (dua,kanan) ketika merasmikan Majlis Pelancaran Yayasan JDT, di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Yayasan Johor Darul Takzim (JDT) menyasarkan 200,000 jumlah keahlian baharu menjelang hujung tahun ini selepas entiti berkenaan kurang bergerak dengan aktif sejak penubuhannya pada 2016 lalu.

Pengerusi Yayasan JDT, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, sasaran itu dilihat mampu dicapai dengan mengambil kira sokongan padu yang ditunjukkan penyokong JDT di laman Facebook Johor Southern Tigers.

"Setakat ini kita baru ada kira-kira RM100,000 melalui pendaftaran ahli seramai 1,300 orang dan kita menjangkakan seramai 100,000 hingga ke 200,000 ahli akan mendaftar lagi dengan Yayasan JDT.

“Jumlah ini kita menganggarkan sekiranya 10 peratus pengikut laman Facebook Johor Southern Tigers. Daripada keahlian terkumpul itu kita yakin mampu mengumpul dana sebanyak RM20 juta dalam tempoh setahun.

“Jumlah dana terkumpul ini membolehkan kita menggunakan 80 peratus daripadanya untuk pembangunan Kelab JDT di masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Kad JDT dan Yayasan JDT di Kafe JDT, di sini hari ini.

Turut hadir bagi menyempurnakan majlis berkenaan, Presiden Kelab Bola Sepak JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.

Mohd Noorazam berkata, antara keistimewaan keahlian Yayasan itu adalah boleh memberikan tawaran istimewa bagi setiap pembelian barangan rasmi Kelab Bolasepak JDT.

“Mereka boleh mendapatkan diskaun 10 peratus untuk barangan rasmi JDT. Selain itu penyokong yang mendaftar diri sebagai ahli juga boleh mendapatkan tiket melalui laluan khas disediakan di Stadium Larkin.

Artikel Berkaitan:

“Kita juga sudah bersetuju dengan Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan Johor Southern Tigers (JST) untuk menyediakan 1,000 tempat duduk di Stadium Larkin yang mana diberi keutamaan tiketnya kepada ahli berdaftar,” katanya,

Beliau berkata, Yayasan JDT ditubuhkan pada 7 Disember 2016 bertujuan untuk mengumpul dana dan mengagihkan bantuan kepada pembangunan kelab bola sepak itu dalam bentuk kebajikan, kesihatan, pendidikan, sukan dan sosial.

"Pelan pembangunan semula telah dijalankan dan ia dirangka dengan tujuan yayasan ini dapat bergerak dan beroperasi semula dengan struktur pentadbiran yang lebih baik bagi mencapai objektif penubuhannya yang digariskan dan dipersetujui Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

"Dengan adanya yayasan ini, hasrat penyokong untuk menjadi sebahagian daripada kelab iaitu mewakili 40 peratus hak milik yang mana diwakili penyokong," katanya.