Argentina kembali laung amaran

Messi meraikan jaringan pertama Argentina ketika berdepan Mexico dalam aksi kumpulan Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail, Lusail. - Foto EPA
Messi meraikan jaringan pertama Argentina ketika berdepan Mexico dalam aksi kumpulan Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail, Lusail. - Foto EPA
A
A
A

ARGENTINA kembali menyalakan harapan mara ke pusingan 16 terbaik selepas menewaskan Mexico, 2-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan C Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Lusail pada Ahad.

Bagaimanapun tiga mata diraih La Albiceleste kendalian Lionel Scaloni dijanakan gol Lionel Messi (64') dan pemain gantian Enzo Fernandez (87') bukan sesuatu yang mudah apabila berdepan corak permainan tekanan tinggi skuad Tricolor Gerardo Martino tersebut.

Kemenangan itu juga mengembalikan semula keyakinan para penyokong La Albiceleste yang sebelum ini dikejutkan kekalahan 1-2 kepada Arab Saudi di venue sama pada 22 November lalu.

Messi, yang menyamai rekod mendiang Argentina Diego Maradona dalam 21 perlawanan dan lapan gol di Piala Dunia berkata: "Hari ini pasukan memulakan satu lagi impian menjulang Piala Dunia untuk Argentina. Saya memberitahu semua orang perkara yang sama, bahawa mereka perlu terus percaya merealisasikan misi pasukan.

"Separuh masa pertama kami tidak bermain seperti yang sepatutnya dan pada babak kedua, apabila pasukan kembali tenang, kami mula bermain bola dengan lebih baik sehingga kami kembali menjadi Argentina sebenarnya."

Argentina boleh mengesahkan kemaraan ke pusingan 16 terbaik sekiranya melakar kemenangan ke atas, Poland dalam perlawanan terakhir kumpulan di Stadium 974, Ras Abu Aboud pada Khamis ini.

Poland kini memimpin Kumpulan C dengan empat mata sambil diekori Argentina (tiga mata), Arab Saudi (tiga mata) dan Mexico (satu mata) selepas masing-masing mengharungi dua perlawanan.

Artikel Berkaitan: