Bajet 2023 diharap kekal inisiatif penjawat awam: Cuepacs

Adnan Mat
Adnan Mat
A
A
A

SHAH ALAM - Bajet Mini pada 19 Disember diharap dapat mengekalkan inisiatif untuk penjawat awam yang telah diumumkan semasa Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-18 pada 30 Ogos dan pembentangan Bajet 2023, 7 Oktober lalu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, ia seperti Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) Khas RM100 dan Bantuan Khas Kewangan RM700 mulai Januari 2023.

Menurut beliau, turut termasuk adalah Bantuan Khas Kewangan untuk pesara berjumlah RM350 dan Bantuan Khas Aidilfitri RM600 mulai Mac 2023.

“Inisiatif tersebut adalah antara yang telah dijanjikan oleh kerajaan selaku majikan kepada penjawat awam dan adalah tidak wajar ia ditarik semula hanya kerana perubahan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan akan membentangkan bajet tersebut bagi meluluskan emolumen berkaitan belanja mengurus terutama melibatkan gaji penjawat awam.

Jelasnya, ia bagi memastikan tiada kebimbangan terhadap penjawat awam disebabkan Bajet 2023 yang belum diluluskan.

Sementara itu, Adnan dalam kenyataan tersebut menegaskan kenaikan dan bantuan tersebut mesti diteruskan dan tidak boleh tinggal harapan.

“Cuepacs tidak mahu perkara yang sama terjadi pada 2018 apabila inisiatif yang dijanjikan oleh kerajaan tidak ditunaikan apabila berlaku peralihan kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Artikel Berkaitan:

“Antara inisiatif tersebut yang tinggal harapan ialah KGT bersamaan satu secara khas kepada semua Penjawat Awam berkuatkuasa 1 Julai 2018.

“Juga pemendekan kenaikan pangkat Time Based kali kedua dikurangkan dari 13 tahun kepada 10 tahun berkuatkuasa 1 Januari 2018 dan penambahan Gred DG56 bagi guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM),” tambah beliau.

Ulasnya, berikutan perkara tersebut, ramai penjawat awam masih berbekas dengan kekecewaan tersebut sehingga kini.

Ujar beliau, Cuepacs berharap Anwar dapat mempertimbangkan untuk terus mengekalkan segala kemudahan yang telah diumumkan oleh kerajaan sebelum ini.

“Dalam masa yang sama, Cuepacs yakin semua ahli Parlimen memberi sokongan kepada Anwar semasa sesi pembentangan bajet mini pada 19 Disember ini,” jelas Adnan.