Piala Dunia: Tuan rumah Qatar tersingkir

Pemain Qatar pada aksi Piala Dunia 2022. - Foto EPA
Pemain Qatar pada aksi Piala Dunia 2022. - Foto EPA
A
A
A

TUAN rumah, Qatar tidak layak ke pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 selepas keputusan seri 1-1 Ecuador dengan Belanda melenyapkan impian pasukan itu hanya beberapa jam selepas tewas 1-3 kepada Senegal.

Bagi pengurus Qatar, Felix Sanchez, beliau melihat penyingkiran awal Qatar di Piala Dunia tidak akan menjejaskan pembangunan bola sepak di negara itu.

Jelas Sanchez, beliau yakin bola sepak akan terus membangun di Qatar walaupun berdepan kekecewaan dan menyasarkan untuk kembali ke kejohanan terbesar dunia itu.

"Piala Dunia akan tamat tetapi bola sepak akan terus di sini (Qatar). Ia negara bola sepak dan mereka mahu memajukan bakat muda sebelum diserap ke skuad senior. Kami boleh terus menyaingi dengan pasukan lain di Asia.

"Dengan itu, kami akan mendapat lebih pengalaman dan beraksi dalam banyak kejohanan seperti ini,” katanya yang pernah membawa Qatar menjulang Piala Asia 2019.

Qatar muncul pasukan tuan rumah kedua tersingkir di pusingan pertama selepas Afrika Selatan pada 2010 dan yang pertama tersingkir hanya selepas dua perlawanan.

Qatar melengkapkan jadual kumpulan dengan Belanda pada Selasa ini yang mana perlawanan itu akan berlangsung di Stadium Al Bayt.

Artikel Berkaitan: