Belanda perlu bangkit jika mahu pergi lebih jauh

Louis van Gaal - Foto EPA
Louis van Gaal - Foto EPA
A
A
A

PENGENDALI Belanda, Louis van Gaal menggesa anak buahnya untuk bangkit pada perlawanan seterusnya selepas sekadar seri 1-1 menentang Ecuador dalam aksi Kumpulan A Piala Dunia Qatar 2022 awal pagi tadi.

Menurut Van Gaal, beliau mengakui Ecuador beraksi jauh lebih baik apabila berjaya mengawal penguasaan bola berbanding Belanda sambil memberitahu masalah yang sama turut dialami ketika menentang Senegal tempoh hari.

“Saya rasa kami tidak beraksi dengan baik. Kami tidak tampil dengan baik dalam soal penguasaan bola, ia masalah yang sama ketika perlawanan pertama sebelum ini.

“Kami sedang berusaha untuk menguasai bola dan kami akan terus mengusahakannya. Sama ada kami akan berjaya, saya tidak berani jamin.

“Jika anda mahu menjadi juara dunia, kami memerlukan peningkatan besar kerana kualiti lawan yang belum kami hadapi berada di tahap yang lebih tinggi berbanding pasukan ini,” katanya.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Antarabangsa Khalifa pada Sabtu, Belanda berjaya membuka tirai jaringan pada minit keenam menerusi Cody Gakpo yang yang menterjemahkan hantaran Davy Klaassen hasil kesilapan pemain Ecuador, Moises Caicedo.

Ecuador kemudiannya bangkit di babak kedua apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Enner Valencia sekali gus meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak kejohanan setakat ini dengan tiga gol.

Keputusan itu menyaksikan Belanda dan Ecuador kini berada di kedudukan satu dan dua kumpulan dengan empat mata, diekori rapat Senegal tiga mata manakala Qatar tanpa sebarang mata.

Artikel Berkaitan: