Selangor bentang Belanjawan 2023 bernilai RM2.45 bilion

Amirudin
Amirudin
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan Selangor 2023 bertema '#KitaSelangor: Melonjak kemajuan, mengerat perpaduan, menjayakan harapan' memperuntukkan sebanyak RM2.45 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan pembangunan pada tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak RM1.25 bilion atau 51 peratus diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala RM1.2 bilion atau 49 peratus perbelanjaan pembangunan iaitu lebih tinggi tujuh peratus berbanding tahun lalu dengan peningkatan RM77 juta.

Anggaran perbelanjaan mengurus merangkumi emolumen berjumlah RM449.737 juta, perkhidmatan dan bekalan berjumlah RM561.779 juta, aset RM12.686 juta, pemberian dan kenaan bayaran tetap berjumlah RM185.968 juta," katanya semasa berucap pada Pembentangan Bajet 2023 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.

Amirudin berkata, perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan (Objek Am 20000) merupakan komponen terbesar mencakupi 44.9 peratus daripada perbelanjaan mengurus kerajaan negeri.

Ujar beliau, perbelanjaan di bawah Objek Am itu antaranya kenaikan gaji minimum RM1,500 bagi kontrak khidmat pembersihan, khidmat kawalan keselamatan dan kontrak penyelenggaraan yang melibatkan 26 jabatan, elaun Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan peruntukan bagi elaun jawatankuasa dan petugas masjid serta sewaan bangunan Ibu Pejabat dan sembilan Mahkamah Rendah Syariah (MRS).

Info grafik mengenai Belanjawan Selangor 2023.
Info grafik mengenai Belanjawan Selangor 2023.

Katanya, peruntukan pembangunan pula akan memberi tumpuan terhadap sektor sosial, berbeza dengan tahun sebelumnya yang kebiasaannya dipacu oleh sektor infrastruktur.

"Kenaikan peruntukan sektor sosial merangkumi 30 peratus iaitu sebanyak RM360 juta adalah persediaan setelah mengambil kira cabaran-cabaran bakal dihadapi pada tahun hadapan termasuk jangkaan kemelesetan ekonomi dunia dengan menambah baik sistem perlindungan sosial yang merangkumkan kebajikan, pendidikan dan pengukuhan ekonomi golongan sasar sebagai teras kesejahteraan rakyat," jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Amirudin memberitahu, walaupun sektor infrastruktur bukan lagi menjadi sektor utama, peruntukan yang disediakan bagi tujuan pembangunan itu berjumlah RM355 juta iaitu bersamaan dengan 29 peratus daripada keseluruhan peruntukan yang dicadangkan iaitu lebih tinggi berbanding peruntukan yang disediakan pada tahun lalu.

Selain itu, katanya, sebanyak RM287 juta ataupun 24 peratus diperuntukkan bagi tujuan pembangunan ekonomi, manakala selebihnya iaitu 17 peratus atau bersamaan dengan RM198 juta adalah dicadangkan untuk sektor kesihatan, pendidikan dan pembangunan luar bandar.

"Kerajaan Selangor menggariskan lima teras utama iaitu mengukuhkan pertumbuhan ekonomi, membudaya perpaduan dan masyarakat penyayang, pendidikan dan pembangunan generasi masa depan, kehidupan lestari dan sejahtera, tadbir urus cekap dan bertanggungjawab," katanya.