Blinken ucap tahniah kepada Anwar, harap kukuh kerjasama

Blinken (Anwar menjalankan tugas rasminya sebagai Perdana Menteri pada Jumaat.)
Blinken (Anwar menjalankan tugas rasminya sebagai Perdana Menteri pada Jumaat.)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Amerika Syarikat (AS) berharap untuk mengeratkan lagi persahabatan dan kerjasama dengan Malaysia berdasarkan prinsip demokrasi yang dikongsi serta menghormati hak asasi manusia dan kedaulatan undang-undang di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baharu dilantik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Negara AS, Antony J. Blinken yang mengucapkan tahniah kepada Anwar dan rakyat Malaysia berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan berjuta-juta rakyat Malaysia telah mengundi, kebanyakan mengundi buat kali pertama, menjadikan pilihan raya itu sebagai lambang kuasa demokrasi.

"AS dan Malaysia sudah menjalin hubungan yang kukuh - perkongsian komprehensif - berakar umbi dalam hubungan ekonomi, keselamatan dan rakyat dengan rakyat.

"Kami komited bekerjasama dengan Malaysia untuk memajukan rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka, makmur, selamat dan berdaya tahan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu menerusi Twitter, jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price berkata, Washington berharap untuk memajukan matlamat bersama demi masa depan yang bebas dan terbuka, makmur, selamat serta berdaya tahan.

"Kami mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas kejayaan pilihan raya umum,” kata beliau.

Sementara itu, India dan Pakistan turut menyuarakan harapan untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia di bawah kepimpinan Anwar.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat untuk mengukuhkan lagi Perkongsian Strategik India-Malaysia yang Dipertingkatkan," kata Perdana Menteri India Narendra Modi dalam perutusan tahniah pada Khamis.

Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif menerusi Twitter turut mengucapkan tahniah kepada Anwar.

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan beliau untuk mengeratkan lagi hubungan yang sudah lama terjalin antara kedua-dua negara," kata Shehbaz.

Kerajaan sementara Afghanistan turut mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada Anwar.

"Afghanistan dan Malaysia, negara Islam yang menjalinkan hubungan persahabatan sejak 1957.

"Malaysia mempunyai kedudukan istimewa dalam dasar luar IEA (Emiriah Islam Afghanistan) dan kami bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan baharu dalam beberapa bidang," menurut Kementerian Hal Ehwal Luar Pakistan.

Sementara itu, Anwar menerusi Twitternya mengucapkan terima kasih kepada Modi atas perutusan tahniahnya dan menurut beliau India ialah rakan kongsi penting bagi Malaysia.

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan anda untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan dan budaya,” kata beliau.

Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 pada Khamis. - Bernama