JDT miliki pakej terbaik julang Piala Malaysia

JDT akan berdepan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. -Foto: JOHOR Southern Tigers
JDT akan berdepan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini. -Foto: JOHOR Southern Tigers
A
A
A

JUARA sembilan kali berturut-turut Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) berada di landasan tepat untuk menjuarai Piala Malaysia, sekali gus mencipta kejayaan 'treble' susulan prestasi dan pencapaian memenangi saingan Piala FA dan Liga Super musim ini.

Skuad Harimau Selatan bimbingan Hector Bidoglio kini dalam misi menebus kekecewaan itu selepas kecundang di final Piala Malaysia musim lepas, apabila bakal membuat perhitungan menentang juara terbanyak dengan rekod 33 kali, Selangor FC di Stadium Nasional di Bukit Jalil, Sabtu ini.

Bagi beberapa jurulatih tempatan yang berpengalaman luas, kebangkitan Selangor sejak dua bulan lalu di bawah kendalian Tan Cheng Hoe, belum mencukupi menandingi kehebatan JDT yang menunjukkan persembahan terpuji sepanjang musim ini.

"Aksi final akan memihak JDT kerana musim ini dari segi konsistensi pasukan, prestasi dan segala perancangan, mereka mempunyai kualiti...tengok saja dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia ia terbukti.

"(Selangor) lihat ada kebangkitan tapi tak mencukupi, sebab bagi saya dari segi 'head to head' dan 'player to player' berpihak kepada JDT...kombinasi Bergson da Silva dan Fernando Forestieri terbaik dalam liga ketika ini," kata bekas jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah pada Khamis.

Beliau yang pernah meraih kejayaan 'treble' pada musim 2007 dan 2008 bersama Kedah, percaya JDT mampu melakukan yang sama, selain menyifatkan tahun ini ialah 'masa menuai' buat pemiliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim, selepas melakukan banyak pelaburan membangunkan sebuah pasukan hebat.

Sementara itu, bekas pengendali skuad kebangsaan B Sathianathan, menjangkakan pertembungan sengit dengan JDT bakal tampil dengan permainan berkelas dunia, untuk menggenggam kejuaraan yang 'tergendala' selepas tewas di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC di final edisi lepas.

"Saya jangka JDT akan berlawan dengan hebat...setiap perlawanan yang besar JDT bermain dengan terbaik, sebab apa yang menghalang pemain JDT daripada bermain dengan baik ialah mereka sendiri...itu sahaja...dan mereka pada tahap terbaik.

Artikel Berkaitan:

"Selangor juga buat yang terbaik untuk ke final dan Cheng Hoe telah buat kerja yang baik. Secara keseluruhannya saya rasa Cheng Hoe telah meningkatkan skuad Selangor dengan banyak sehingga mereka kini mengawal permainan dan lebih baik dengan taktik mereka, tetapi JDT sentiasa lebih baik dari lawan mereka," katanya.

Bekas Ketua Jurulatih Selangor musim 2018 hingga 2020 itu, turut tidak merasakan pengalaman Cheng Hoe bersama beberapa pemain bintang JDT ketika membimbing skuad kebangsaan sebelum ini, memberikan kelebihan kepada Selangor, Sabtu ini.

"Semua jurulatih tahu Arif Aiman pemain sayap yang lincah dan ada kemahiran mengelecek, tapi beliau terus melakukan perkara itu setiap perlawanan. Walaupun Cheng Hoe mengenali seseorang pemain itu dengan baik, untuk tampil dengan strategi menewaskan JDT bukan mudah," katanya.

Turut senada ialah Ketua Jurulatih Kuching City FC Irfan Bakti Abu Salim, yang menyifatkan kebangkitan Selangor pada saat-saat akhir begitu memberangsangkan, namun tetap memilih JDT selaku pilihan juara berdasarkan prestasi pemain-pemain utama pasukan itu ketika ini.

"Saya akui Selangor ada peningkatan yang jelas apabila Cheng Hoe ambil alih pasukan, tapi apa-apa pun kehadiran ramai pemain bintang di JDT yang sangat berkesan, membuatkan saya yakin JDT boleh jadi juara," katanya yang mengemudi Kuching City sehingga ke pusingan 16 terbaik pada saingan musim ini.

Ketika ini, Bergson ialah penjaring terbanyak JDT dalam saingan Piala Malaysia dengan mengumpul enam gol, manakala Herlison Caion De Souza Ferreira penjaring terbanyak Selangor selepas meledak lima gol. Kpah Sherman dari Terengganu FC ialah penjaring terbanyak saingan ketika ini dengan tujuh gol.

Kali terakhir Selangor muncul juara Piala Malaysia ialah pada musim 2015, sebelum gagal mempertahankan gelaran apabila tewas kepada Kedah di final musim berikutnya, sementara JDT muncul juara sebanyak dua kali pada 2017 dan 2019 sejak penubuhan kelab itu pada 2013.

Rekod lima pertemuan terakhir dalam semua pertandingan berpihak JDT yang melakar tiga kemenangan dan dua seri berdepan Selangor. Kali terakhir kedua-dua pasukan bertemu berakhir dengan keputusan 1-1 pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, September lepas.