Pengambilan garam rakyat Malaysia tinggi

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA SAMARAHAN - "Pengambilan garam dalam kalangan rakyat Malaysia kini berada di tahap yang membimbangkan," kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, kajian pengambilan garam populasi Malaysia (My CoSS 2017/2018) mendapati bahawa purata pengambilan garam sehari adalah sebanyak 7.9 gram atau bersamaan dengan 1.6 sudu teh garam.

"Kajian juga menunjukkan empat daripada lima penduduk Malaysia mengambil garam dalam kuantiti yang tinggi.

"Ini menujukkan bahawa populasi Malaysia masih mengambil garam berlebihan, melebihi daripada saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), iaitu kurang daripada 5 gram (satu paras sudu teh) dalam sehari," katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Kesedaran Pengurangan Garam Peringkat Kebangsaan 2019 di sebuat pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Sambutan yang bertema 'Jom Bertindak#Sedap Tak Semestinya Masin' bermula 13 hingga 20 April ini.

Dr Lam Thye berkata, pengambilan garam yang berlebihan meningkatkan risiko mendapat penyakit hipertensi dan seterusnya jika tidak terkawal boleh menyebabkan stok serta penyakit jantung.

Beliau berkata, pengurangan garam merupakan satu daripada intervensi utama yang sangat kos efektif dalam pencegahan dan pengawalan penyakit tidak berjangkit (NCD).

Katanya, WHO telah menetapkan sasaran pengurangan garam dalam populasi adalah sebanyak 30 peratus daripada pengambilan garam menjelang 2025.

Artikel Berkaitan:

Dr Lam Thye berkata, kajian di United Kingdom menunjukkan bahawa pengurangan pengambilan satu gram garam sehari boleh menyelamat 7,000 nyawa dan menjimatkan kos penjagaan kesihatan sebanyak satu bilion setahun.

Beliau turut mengingatkan orang ramai bahawa kebanyakan garam yang diambil adalah tersembunyi di dalam makanan dan menasihatkan orang ramai menggunakan perencah asli dalam masakan. - Bernama