PH Terengganu yakin Anwar mampu kemudi negara, stabilkan politik

Raja Kamarul Bahrin Shah
Raja Kamarul Bahrin Shah
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (PH) Terengganu yakin pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 dalam tempoh negara berdepan dengan isu kejatuhan ekonomi mampu membawa perubahan besar dan positif kepada rakyat.

Pengerusinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, Ahli Parlimen Tambun itu juga berupaya menstabilkan kembali politik dalam negara serta menaikkan nama dan imej Malaysia di mata dunia.

"Kita yakin dengan izin ALLAH SWT dan dengan pengalaman yang beliau (Anwar) ada selama ini, beliau mampu mengemudi negara.

"Kita juga menaruh kepercayaan bahawa beliau mampu mendepani kancah kejatuhan ekonomi, menstabilkan kembali politik dalam negara serta menaikkan nama dan imej Malaysia di mata dunia," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Raja Kamarul Bahrin turut menzahirkan ucapan tahniah atas perkenan Yang di-Pertuan Agong melantik Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

"PH Terengganu bersyukur dan menjunjung kasih ke atas Kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dalam menangani isu pelantikan Perdana Menteri ke-10 dengan meletakkan kebajikan serta perpaduan rakyat jelata dan negara sebagai keutamaan.

"Sama-sama kita doakan kerajaan perpaduan ini dibimbing ALLAH SWT dan disokong padu oleh semua rakyat Malaysia," ujar beliau.

Pada petang Khamis, Anwar mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Istana Negara dalam kenyataannya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong perkenan melantik Pengerusi PH itu sebagai Perdana Menteri ke-10.

Ia sekali gus menamatkan teka-teki selepas lima hari Parlimen berada dalam situasi tergantung berikutan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu lalu, menyaksikan tiada mana-mana pihak berjaya mendapat majoriti 50 peratus daripada kerusi yang dipertandingkan.