Gavi sebaris Pele

Gavi (kiri) antara pencetak gol La Roja ketika berdepan Costa Rica dalam perlawanan Kumpulan E Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama, Doha. - Foto EPA
Gavi (kiri) antara pencetak gol La Roja ketika berdepan Costa Rica dalam perlawanan Kumpulan E Piala Dunia 2022 di Stadium Al Thumama, Doha. - Foto EPA
A
A
A

GOL pemain tengah Sepanyol, Gavi ketika La Roja membelasah Costa Rica 7-0 dalam perlawanan Kumpulan E Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Thumama, Doha menjadikannya penjaring termuda Piala Dunia sejak era legenda Brazil, Pele pada edisi Sweden 1958.

Untuk rekod, Pele berusia 17 tahun di Sweden ketika membawa Brazil merangkul kejuaraan Piala Dunia pertama, menjaringkan enam gol.

Gavi, yang berusia 18 tahun juga memperoleh anugerah pemain paling bernilai (MVP) perlawanan selepas menjadi pemain Sepanyol termuda menjaringkan gol di Piala Dunia, memecahkan rekod Cesc Fabregas yang berusia 19 tahun ketika menjaringkan gol menentang Ukraine pada kejohanan 2006.

“Saya gembira dengan pencapaian ini, namun apa yang saya benar-benar peduli di Qatar 2022 ialah pasukan kami menang dan menampilkan permainan hebat bagi memastikan Sepanyol mara.

"Sudah tentu, ia satu penghormatan untuk berada di tempat kedua dalam senarai ini dan sesuatu yang membuatkan saya sangat gembira," kata Gavi.

Gavi menjaringkan gol kelima Sepanyol pada minit ke-74 hasil voli padu selepas menyempurnakan hantaran lintang Alvaro Morata.

Ferran Torres menjaringkan dua gol pada minit ke-31' dan 45', manakala empat gol lagi dijelmakan Dani Olmo (11'), Marco Asensio (21') Carlos Soler (90') dan Morata (92') membawa Sepanyol melepasi 100 gol dalam pusingan akhir kejuaraan bola sepak berprestij tersebut.

Gavi bintang kelab La Liga Sepanyol, Barcelona menjadi pemain termuda mewakili Sepanyol pada November 2021, dua bulan selepas hari jadinya yang ke-17.

Artikel Berkaitan:

Beberapa bulan kemudian, dia menjadi pemain Sepanyol termuda yang menjaringkan gol untuk negaranya.