Lima penyokong TFC 'mengamuk' direman

Lima penyokong TFC yang dipercayai terlibat insiden kekecohan serta membaling batu ke arah bas penyokong Selangor direman selama empat hari bermula Khamis.
Lima penyokong TFC yang dipercayai terlibat insiden kekecohan serta membaling batu ke arah bas penyokong Selangor direman selama empat hari bermula Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Lima penyokong bola sepak pasukan Terengganu yang dipercayai terlibat insiden kekecohan serta membaling batu ke arah bas penyokong Selangor, malam Isnin lalu direman empat hari bermula Khamis.

Perintah tahanan reman terhadap suspek berusia 24 hingga 37 tahun itu dikeluarkan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri, di sini.

Kesemua suspek disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, lima suspek tersebut ditahan susulan tangkapan dilakukan Pasukan Cantas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) terhadap seorang lelaki di lokasi kejadian di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), pada Selasa.

"Operasi mengesan suspek dilakukan di sekitar daerah Kuala Terengganu antara jam 11 pagi hingga 8 malam pada Rabu. Semua suspek direman pagi ini dan disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan," kata beliau.

Isnin lalu berlaku insiden kekacauan dan kekerasan yang dilakukan terhadap pasukan Selangor FC selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, sekumpulan penonton dipercayai penyokong Terengganu FC (TFC) bertindak liar dengan melempar kon dan objek lain ke arah bas yang membawa pasukan Selangor FC keluar dari SSMZA selepas tamat perlawanan.

Tindakan tidak bertanggungjawab itu menyebabkan cermin bas pecah selepas objek dipercayai batu yang dilempar menembusi dan hampir terkena pegawai Selangor FC.

Artikel Berkaitan: