'Kenyataan UMNO beri mesej jelas'

Johari ketika ditemui media pada Khamis di pekarangan Pejabat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
Johari ketika ditemui media pada Khamis di pekarangan Pejabat Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.
A
A
A

PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kedah, Datuk Johari Abdul menyifatkan bahawa kenyataan UMNO yang tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) itu sebagai satu mesej yang jelas.

Ujar beliau, kenyataan itu membuktikan bahawa UMNO melalui Barisan Nasional (BN) boleh bekerja dengan semua pihak kecuali PN.

"Saya rasa mesej itu sangat jelas. Mereka boleh bekerja dengan mana-mana pihak kecuali Perikatan Nasional (PN)," katanya kepada petugas media di pekarangan Pejabat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis.

Pada Khamis, Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebulat suara menyokong titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya BN menyokong dan mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan yang bukan diterajui PN.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat MKT UMNO, mereka bersetuju semua wakil-wakil parti yang memenangi kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) mematuhi dan menerima sebarang bentuk kerajaan perpaduan atau lain-lain bentuk kerajaan yang bakal diperkenankan oleh Seri Paduka Baginda.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tujuan beliau di Pejabat Anwar, beliau menjelaskan ia bagi membincangkan persiapan mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

"Sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ini, saya kena bersedia dengan apa yang akan jadi.

"(Pilihan Raya) Negeri pun saya rasa dalam sekitar bulan Mei atau Jun, jadi kita kena bersedia," ujarnya.

Artikel Berkaitan: