Polis sahkan video tular tiada kaitan ekstremis, pengganas

Tangkap layar video sekumpulan lelaki menunggang kuda sambil membawa bendera.
Tangkap layar video sekumpulan lelaki menunggang kuda sambil membawa bendera.
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Video tular sekumpulan pemuda yang menunggang kuda sambil memegang bendera tiada kaitan dengan mana-mana kumpulan ekstremis atau pengganas.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Kubang Semang dan video itu dipercayai dirakam pada 19 November lalu.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati bendera yang dipegang mereka adalah bendera parti dan juga bendera kalimah syahadah.

"Siasatan lanjut mendapati ia tiada kaitan dengan mana-mana gerakan ekstremis atau pengganas.

"Polis memberi amaran kepada orang ramai agar serta-merta menghentikan spekulasi yang tidak memberi manfaat ini malah akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Pada Rabu tular video berdurasi 20 saat yang memaparkan sekumpulan lelaki berkuda sambil memegang bendera di media sosial.

Video terbabit dikongsi ramai pengguna media sosial dengan pelbagai keterangan dan komen yang mencetuskan pelbagai spekulasi negatif.

Mohd Shuhaily berkata, tindakan tersebut boleh disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat sengaja membangkitkan pecah keamanan.

Artikel Berkaitan:

Jika sabit kesalahan, mereka yang terlibat boleh dipenjara atau denda atau kedua-dua sekali.

Tambah beliau, kesalahan itu juga boleh disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda RM50,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.