Boling Piala Dunia: Malaysia bawa pulang pingat gangsa

Kuartet Malaysia menduduki tempat ketiga acara berpasukan wanita Piala Dunia IBF 2022 di Queensland pada Rabu.
Kuartet Malaysia menduduki tempat ketiga acara berpasukan wanita Piala Dunia IBF 2022 di Queensland pada Rabu.
A
A
A

SKUAD boling negara terpaksa menunggu sehingga hari terakhir Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) 2022 di Queensland, Australia untuk meraih pingat gangsa pada acara berpasukan wanita, hari ini.

Kuartet Malaysia terdiri daripada pemain veteran Esther Chiah diikuti Sin Li Jane, Natasha Roslan dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman berjaya mengharungi lima perlawanan untuk mengatasi Jordan Richard, Bryanna Cote, Danielle McEwan dan Stefanie Johnson dari Amerika Syarikat (AS), 3-2.

Malaysia mendahului apabila memenangi perlawanan pertama dengan 226-204 jatuhan pin dan terus mendahului 2-0 dengan kemenangan 219-182 pada perlawanan kedua.

Pasukan Amerika Syarikat bangkit dan menguasai dua perlawanan seterusnya dengan 226-192 dan 248-220.

Bagaimanapun, Malaysia tidak mengaku kalah dan terus berjuang untuk memenangi perlawanan terakhir selepas mengatasi pasukan lawan dengan 235 jatuhan pin berbanding 228 jatuhan pin.

Terdahulu, skuad negara gagal melangkah ke final selepas tewas 1-3 (190-237, 214-190, 207-240, 204-228) kepada Sweden.

Semalam, pemain lelaki negara, Timmy Tan terlepas pingat gangsa selepas tewas kepada wakil AS, Kris Prather 279-288, 206-215 dalam acara perseorangan lelaki. - Bernama

Artikel Berkaitan: