Shah Firdaus terlepas sambar pingat gangsa

Shah Firdaus
Shah Firdaus
A
A
A

PELUMBA berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom terlepas peluang membawa pulang pingat gangsa acara pecut individu lelaki Kejohanan Piala Negara-Negara UCI di Milton, Kanada pada Ahad.

Shah Firdaus gagal menyaingi kehebatan juara pecut lelaki Sukan Komanwel 2022 dari Australia, Matthew Richardson yang menumpaskannya 2-0 dalam perlumbaan penentuan pingat gangsa.

Wakil Trinidad and Tobago, Nicholas Paul muncul juara acara berkenaan selepas menundukkan pelumba Poland, Mateusz Rudyk, juga dengan keputusan 2-0.

Sementara itu, pelumba wanita negara yang sedang meningkat naik, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mencipta sensasi berjaya mencatatkan rekod kebangsaan baharu bagi acara pecut individu.

Dalam saingan yang berlangsung di Mattamy National Cycling Centre itu, Nurul Izzah merakamkan catatan 11.057 saat (s) pada pusingan kelayakan.

Nurul Izzah memadamkan rekod 11.094s milik rakan sepasukannya, Anis Amira Rosdi yang dilakar di Nilai, Negeri Sembilan tahun lalu.

Walaupun berjaya melepasi peringkat kelayakan, Nurul Izzah gagal mara ke peringkat seterusnya apabila tersingkir pada pusingan 1/16 di tangan pelumba Mexico, Yuli Verdugo Osuna.

Anis Amira turut ditunjuk jalan keluar pada pusingan 1/16 apabila gagal menyaingi kepantasan pelumba dari Great Britain, Thomas Lowri.

Jumaat lalu, Nurul Izzah bersama Anis Amira dan Nurul Aliana Syafika Azizan yang beraksi dalam acara pecut berpasukan wanita mencatat 50.172s untuk memadam rekod kebangsaan lama mereka, 50.388s yang dilakukan di Jakarta, Indonesia pada Februari.