PRU15: SPR didesak kira semula undi Parlimen Lubok Antu

Dr Johnical Rayong (kanan) menjawab soalan daripada pemberita. Turut kelihatan Dato Sri Wong Soon Koh.
Dr Johnical Rayong (kanan) menjawab soalan daripada pemberita. Turut kelihatan Dato Sri Wong Soon Koh.
A
A
A

KUCHING - Calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Parlimen Lubok Antu Dr Johnical Rayong Ngipa mendakwa berlaku ketirisan dalam penjumlahan undi bagi kawasan tersebut.

Katanya, berdasarkan keputusan tidak rasmi yang diperolehi, beliau mendahului jumlah undi berbanding calon lain iaitu calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Roy Angau Gingkoi, calon Perikatan Nasional (PN) Jugah Muyang dan calon Pakatan Harapan (PH), dan Langga Lias.

Melahirkan perasaan tidak berpuas hati terhadap keputusan itu, beliau mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melakukan pengiraan semula jumlah undi berkenaan.

"Ketika Pegawai SPR mengumumkan keputusan rasmi sekitar jam 10.30 malam, saya dimaklumkan bahawa saya tewas dengan hanya 100 majoriti.

"Saya mahu SPR merujuk semula berapa jumlah pengundi yang keluar mengundi, berapa jumlah undi rosak dan berapa undi dikembalikan.

"Itu penting kerana jumlah majoriti yang hanya 100 undi itu terlalu kecil dan meragukan.

“Sehubungan itu, saya memohon SPR menilai semula dan menyemak kembali keputusan undian ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada Rabu.

Dalam pada itu katanya, semasa pegawai SPR mengumumkan keputusan itu, beliau telah meminta pegawai SPR mengira semula namun permohonannya ditolak.

Artikel Berkaitan:

"Permohonannya saya ditolak tanpa memberitahu sebab-sebab penolakan," katanya kesal.

Menurutnya lagi, pihaknya akan mengemukakan petisyen dalam tempoh 21 hari selepas PRU15 bagi membantah keputusan yang sudah diumumkan.

"Laporan polis sudah dibuat oleh pengundi di Lubok Antu berhubung perkara itu dan peguam kami juga sudah bersiap untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Pada masa sama, Presiden PSB Dato Sri Wong Soon Koh turut menggesa SPR menyemak semula jumlah undi bagi kerusi Parlimen Lubok Antu.

Katanya, beliau ingin melihat demokrasi dipraktikkan di Sarawak dan semua ahli diperlakukan secara adil.

Dalam pertandingan empat penjuru itu, calon GPS, Roy Angau Gingkoi menang selepas mendapat 6,644 undi berbanding Dr Johnical yang memperolehi 6,544 undi, manakala calon Perikatan Nasional (PN), Jugah Muyang memperoleh 5,360 undi dan calon Bebas, Langga Lias, 746 undi.