PRU15: UMNO perlu ambil iktibar, buat 'post-mortem'

Abdul Rahman
Abdul Rahman
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO dan BN perlu mengambil iktibar serta digesa turut melakukan 'post-mortem' bagi mencari punca gabungan itu kalah teruk pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu lalu.

Bekas Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar berkata, tindakan ini perlu bagi menyelamatkan parti daripada terus gagal dan 'dimalukan' sebagaimana yang dihadapi ketika ini.

"Kita (haruslah) ambil satu pengajaran bahawa kita kalah (tetapi) jangan buat macam kita menang (dan) masih berebut nak jadi Perdana Menteri.

Sekarang ini kita kena buat post mortem mengapa kalah, kenapa orang muda tak sokong BN dan negeri yang dikuasai dulu kalah, ambil iktibar bahawa pilihan raya ini berlainan. Bertindak dan baiki segera.

"Selain itu, tingkatkan kesedaran pengundi Melayu, bukan saya racist (bersikap perkauman) tapi penting untuk orang Melayu faham kepentingan politik. Jangan sudah kalah baru insaf," katanya pada program [Sinar Live] bertajuk Pasca PRU15: Ke Arah Politik Stabil Atau Sebab Kuasa yang dikendalikan Ismail Adnan.

Tambah Abdul Rahman, meskipun kekalahan UMNO dan BN mengejutkan, namun jangan jadikan ia satu halangan, sebaliknya parti perlu terus berdiri dan mengukuhkan kembali asas walaupun sebagai pembangkang.

"Tiada parti yang dominan untuk bentuk kerajaan, jadi kita serahkan kepada kebijaksaan Yang di-Pertuan Agong siapa yang patut menjadi Perdana Menteri. Jadi, bagi saya BN tak mahu bersama PH atau PN jadi elok kita jadi pembangkang dan beri kuasa kepada yang menang.

"Benar, keputusan Pilihan raya kali ini yang terburuk, pertama orang muda kurang menyokong BN, tunjuk protes kerana tidak suka pilihan raya diadakan pada musim banjir.

Artikel Berkaitan:

"Kita lihat juga kepada pemilihan calon-calon yang digugurkan contoh yang boleh menang dan calon BN juga tidak setara dengan (pihak) lawan. Apapun bukan semua kalah dan masih ada lagi 30 kerusi tapi ini satu kejutan besar," ujarnya.

Jelasnya, ada sesetengah pihak menyalahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetapi kalah dan menang itu lumrah, cuma beliau sedikit kesal apabila parti tidak mahu bekerjasama dengan PN.

"Orang melihat pimpinan Ahmad Zahid dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) tapi itu lumrah biasanya apa yang dilontarkan ada benar dan salah. Oleh itu, saya fikir pimpinan BN kena ambil kira, post mortem semula apa yang cuba dilontarkan oleh orang ramai.

"Justeru, gabungan Pas dan Bersatu kuat kalau kita dulu bergabung dengan mereka yang mana (Parlimen) kalah sebahagian besar akan menang.

"Tetapi kita memandang lekeh dan sebelah mata gabungan Pas dan Bersatu. itu kesilapan terbesar kerana ternyata gabungan itu mampu meraih 73 kerusi sekiranya Umno bersama mungkin kita akan dapat majoriti mudah," jelasnya.