Penganggur rompak doktor, pembantu klinik gigi dijel

Muhammad Hafiz (dua dari kanan) dan Mohd Hazani (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi pada Selasa untuk didakwa atas pertuduhan merompak di sebuah klinik gigi di Bandar Seri Putra, dua minggu lalu.
Muhammad Hafiz (dua dari kanan) dan Mohd Hazani (kanan) dibawa ke Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi pada Selasa untuk didakwa atas pertuduhan merompak di sebuah klinik gigi di Bandar Seri Putra, dua minggu lalu.
A
A
A

BANGI - Tindakan seorang penganggur merompak dengan mengacukan parang terhadap seorang doktor klinik gigi dan pembantunya dua minggu lalu, membawa padah apabila dia dihukum penjara lima tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Bandar Baru Bangi di sini, pada Selasa.

Penganggur, Muhammad Hafiz Ghazali, 32, berbaju T kuning dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Effandi Nazila Abdullah.

Bagi pertuduhan pertama, dia dipenjara empat tahun dan satu sebatan manakala pertuduhan kedua, penjara lima tahun dan satu sebatan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula tarikh tangkap iaitu 9 November lalu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap Ainun Najah Mohd Banuri, 26, dan Nur Syazwani Noor Hisam, 24, dengan mengacukan parang kemudian melarikan komputer riba serta telefon bimbit mangsa, di klinik gigi di Bandar Seri Putra di sini, pada jam 1 petang, 7 November lalu.

Atas dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 395/ 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun serta dikenakan sebat, jika disabitkan kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa mencadangkan mahkamah menjatuhi hukuman berat memandangkan tertuduh menggunakan senjata merbahaya semasa melakukan jenayah.

"Dia turut mempunyai satu rekod lampau iaitu kes samun bersenjata, beberapa tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kesalahan yang dilakukan adalah serius maka saya mohon mahkamah mengambil kira kepentingan masyarakat sebelum menjatuhi hukuman," katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Hafiz yang tidak diwakili peguam, merayu agar dikenakan hukuman ringan kerana perlu menanggung dua anak dan memohon agar kesemua hukuman berjalan serentak.

Dalam pada itu, seorang lagi tertuduh, pengawal keselamatan, Mohd Hazani Mohd Yusof, 36, yang memakai baju T hitam mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang sama.

Dia juga mengulangi pendirian tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan, merompak dengan melarikan rantai leher milik pelanggan klinik, Norjannah Hashim, 29, di lokasi, tarikh dan masa sama.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Namun, Mohd Hazani merayu agar jumlah itu dikurangkan kerana tidak berkemampuan selain perlu menanggung ibu.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Effandi Nazila membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Pada 9 November lalu, tular video di laman sosial memaparkan beberapa wanita dirompak dua lelaki bersenjatakan parang di sebuah klinik di Bandar Seri Putra, Bangi di sini.

Video berdurasi dua minit 34 saat, menunjukkan seorang wanita bergelut dengan perompak itu untuk menyelamatkan barangan peribadinya dan turut kelihatan dua kakitangan premis itu.