[VIDEO] Jangan timbulkan provokasi - Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Pas menyeru semua pihak menghormati keputusan rakyat yang telah mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Sabtu lalu.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Pas juga mahu semua pihak menghalang sebarang bentuk provokasi yang boleh menggugat keharmonian negara dan terus menghormati undang-undang serta menjunjung Perlembagaan.

“Malaysia kini sedang melalui fasa penting pembentukan kerajaan melalui proses demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan.

“Pas menegaskan untuk memelihara kestabilan politik, ekonomi negara dan seterusnya memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya 'tidak menangguk di air yang keruh dan jangan sesekali dijolok sarang tebuan’,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani berkata, polis memberi peringatan dan penegasan kepada pengguna media sosial agar mengekang diri daripada menyalahgunakan platform tersebut.

Katanya, polis juga mengeluarkan amaran ekoran banyak kandungan media sosial menyentuh sentimen perkauman dan keagamaan serta menghina institusi diraja sejak PRU15 berlangsung.

Pada PRU15, Pakatan Harapan (PH) memperoleh 76 kerusi Parlimen di seluruh negara manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 51 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) (22), Pas (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (enam), DAP (lima) dan Warisan (tiga).

Muda dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing memperoleh satu kerusi Parlimen manakala Bebas dua.

Artikel Berkaitan: