Kerjasama BN-PH lebih berdaya saing, kata penganalisis

Perang bendera BN dan PH. - Gambar hiasan
Perang bendera BN dan PH. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Penganalisis politik berpandangan gabungan BN bersama Pakatan Harapan (PH) lebih berdaya saing berbanding jika bersama Perikatan Nasional (PN).

Ketua Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor berkata, meskipun perbezaan ideologi antara BN dan PH, namun ia memberi kelebihan kepada kedua-dua gabungan itu dalam menubuhkan kerajaan, yang disifatkan lebih baik dan bertahan lama.

"Jika BN bersama PH walaupun dari segi ideologi itu nampaknya bertentangan sedikit kerana identiti politik UMNO dan PKR pula pelbagai kaum. Dari segi pakatan, PN dgn PH itu agak 'centric' cuma BN 'centric' ke kanan dan PH ke kiri.

"Selain itu, PKR dan UMNO, BN dan PH mereka tidak berebut kawasan yang sama. PH popular di bandar dan elit urban sementara UMNO luar bandar dan kawasan majoriti Melayu.

"Bila PH berpakat dengan BN untuk menubuhkan kerajaan nampak gayanya lebih berdaya saing dan bertahan lama. Mungkin boleh dikompromikan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Bagaimanapun, Muhammad Nadzri berkata, kerjasama antara BN dan PN juga dilihat dapat mengukuhkan sistem kepartian dan ideologi perjuangan, namun ketidaksefahaman dalam menentukan komposisi dalam kawasan majoriti Melayu menjadi halangan kepada mereka.

"Jika BN bersama PN secara ideologinya lebih dekat, kerana mereka mempunyai perjuangan yang hampir sama iaitu berteraskan kepada kepentingan Melayu Islam.

"Memang elok parti yang mempunyai ideologi yang hampir sama ini berpakat dan bersaing dengan ideologi yang berbeza (PH). Ini mengukuhkan sistem kepartian dan ideologi.

Artikel Berkaitan:

"Namun, kekurangan BN dan PN pula, apabila mereka merebut komposisi masyarakat yang sama iaitu kawasan majoriti orang Melayu baik BN, Bersatu ataupun Pas," ujarnya.

Justeru, menurut beliau, apabila BN dan PN tidak boleh membahagikan kawasan secara adil maka tercetus perebutan yang boleh memakan diri sesama mereka.

"(Tetapi) Yang nampak sekarang ini kepentingan UMNO/BN-PKR/PH selari ketika ini yang memungkinkan mereka bergabung. Jadi, kepentingan bersama PH itu (dilihat) pucuk pimpinan UMNO lebih tinggi berbanding PN," katanya.