'Sebarang keputusan BN perlu dipersetujui Dewan Tertinggi'

Wee Ka Siong. - Foto Bernama
Wee Ka Siong. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mahu sebarang keputusan melibatkan BN harus mendapat persetujuan dan mandat daripada Dewan Tertinggi gabungan tersebut.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menjelaskan, sehingga kini tiada sebarang perjumpaan melibatkan ahli Parlimen BN dan Pakatan Harapan (PH) yang melibatkan beliau.

Ka Siong memberitahu, beliau hanya menghadiri perjumpaan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur pada jam 10 pagi Isnin.

"Saya menerima notis melalui aplikasi WhatsApp daripada Setiausaha Kerja BN pada jam 11.23 malam semalam mengenai perjumpaan hari ini hanya melibatkan ahli-ahli Parlimen BN.

"Satu sidang media telah diadakan selepas perjumpaan yang hanya melibatkan ahli Parlimen BN dan puluhan wartawan telah membuat liputan.

"Saya terkilan apabila sebaik saja tiba di Seri Pacific Hotel, pemimpin-pemimpin PH turut hadir dalam perjumpaan ini," katanya dalam Facebook miliknya, hari ini.

Beliau tidak tahu sama ada perjumpaan tersebut telah pun diatur terlebih awal atau pun satu kebetulan.

Bagaimanapun bekas Menteri Pengangkutan itu menegaskan, tiada sebarang perjumpaan antara ahli Parlimen BN dan wakil PH berlangsung ketika beliau berada di Seri Pacific Hotel dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari.

Artikel Berkaitan:

"Apa yang pasti, saya hanya menghadiri perjumpaan bersama Pengerusi BN dengan semua ahli Parlimen BN sahaja.

"Selepas perjumpaan dan sidang media bersurai, saya tidak terlibat dalam mana-mana perbincangan, pertemuan sama ada kebetulan atau tidak dengan pemimpin-pemimpin PH," katanya lagi.