Sanusi enggan mohon maaf, sedia jumpa Anwar di mahkamah

Anwar (kiri), Muhammad Sanusi (kanan).
Anwar (kiri), Muhammad Sanusi (kanan).
A
A
A

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak akan membuat permohonan maaf dan bersedia sekiranya Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan saman terhadap dirinya di mahkamah.

Beliau berkata, sehingga kini belum menerima writ saman mahupun surat tuntutan (LOD) daripada mana-mana pihak.

Menurutnya, apa yang disampaikan dalam ceramah berkenaan adalah berdasarkan fakta dan bukannya memfitnah Anwar.

“LOD tersebut dihantar kepada media, bukan kepada saya. Saya fahamlah maksud itu, bila dihantar kepada media, mahu membina persepsi seolah-olah kenyataan saya tidak benar. Seterusnya beliau akan cabar di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Kesyukuran PN Kedah di Kompleks Pas Kedah, pada Ahad.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu tegaskan, apa yang diulas dalam ceramah berkenaan adalah fakta yang dipetik daripada keputusan mahkamah membabitkan Anwar sebelum ini dan ia tidak dapat disembunyikan.

Saya tak akan minta maaf, saya cakap itu betul. Saya ulas saja mana tahu ada orang muda yang mahu mengundi tidak tahu tentang kes Anwar.



"Saya cuma bagi tahu kawan ini (Anwar) ada kes mahkamah dua kali dan disabit dengan kesalahan. Takkan saya salah pula, saya jawablah di mahkamah nanti,” katanya lagi.

Sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat bakal berdepan dua kes saman selain daripada Anwar.

Artikel Berkaitan:

Pada 16 November, Anwar menuntut permohonan maaf daripada Muhammad Sanusi berhubung ucapannya yang didakwa mempunyai unsur fitnah dalam program Jelajah PN Best Tambun.

Anwar memberi tempoh selama tiga hari dari tarikh penerimaan notis untuk Muhammad Sanusi menjawab dan sekiranya gagal, tuntutan ganti rugi sebanyak RM10 juta akan diteruskan terhadap Muhammad Sanusi.

Manakala pada 14 November, bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Alor Setar, Tan Chee Hiong juga berhasrat memfailkan saman fitnah ke atas Muhammad Sanusi berhubung kenyataannya yang dianggap memfitnah keluarganya di Sik.

Muhammad Sanusi dalam ceramah kempen PRU15 di Kampung Gadeng mendakwa, bapa Chee Hiong terpaksa memberikannya wang jutaan ringgit sehingga menyebabkan perniagaan bapanya yang dahulunya berjaya menjadi bankrap.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi memaklumkan, pihaknya juga belum menerima sebarang tuntutan atau notis berkaitan kes yang dikemukakan oleh Chee Hiong.

“Setakat hari ini (Ahad), dua-dua LOD belum sampai lagi,” katanya yang merujuk kepada tuntutan Anwar dan Chee Hiong.

Muhammad Sanusi berkata, kemungkinan frasa bankrap yang digunakan oleh beliau disalah erti pihak tertentu.

“Saya guna bahasa kampung merujuk bankrap kepada merudum, bukan insolvensi. Bisnes merudum orang kampung sebut bankrap, itu bahasa kampung bukan saya kata dia dikenakan insolvensi,” katanya lagi.