Pokok tumbang punca kemalangan dua kenderaan

Anggota bomba semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan. Foto JBPM Selangor
Anggota bomba semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan. Foto JBPM Selangor
A
A
A

BANGI - Sebanyak dua buah kenderaan mengalami kerosakan dalam kejadian pokok tumbang di Jalan P1, Kawasan Perindustrian Bangi-Sungai Merab di sini awal pagi Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba Bangi dikerah ke lokasi sejurus menerima panggilan pada jam 6.20 pagi.

"Kejadian melibatkan sebatang pokok setinggi 6 meter telah tumbang menghalang jalan dan menghempap bahagian hadapan sebuah kereta yang sedang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun.

"Turut terlibat sebuah motosikal jenis Honda Wave ditunggang seorang lelaki berusia 33 tahun selepas dipercayai gagal mengawal motosikal lalu melanggar pokok berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Norazam berkata, kedua-dua mangsa yang merupakan lelaki tempatan terselamat tanpa sebarang kecederaan.

Beliau berkata, pasukan bomba telah menjalankan kerja-kerja pembersihan dan memotong sisa pokok berkenaan supaya tidak menghalang laluan.

Artikel Berkaitan: