PRU15: Gerakan tsunami politik punca Warisan hilang banyak kerusi

Mohd Shafie pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
Mohd Shafie pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kehilangan enam kerusi Parti Warisan (Warisan) termasuk di Labuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dipercayai akibat daripada gerakan tsunami politik yang melanda negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan menerima keputusan rakyat dan mereka tidak boleh menidakkan kemahuan pengundi yang telah melaksanakan tanggungjawab untuk memilih wakil rakyat yang dikehendaki.

"Saya sedar dan tahu bahawa Warisan kehilangan beberapa kerusi di kawasan-kawasan tertentu yang sepatutnya kita mampu pertahankan.

"Tetapi saya juga sedar ada beberapa gerakan gergasi tsunami yang berlaku di negara kita sehingga keadaan itu berubah-ubah ke hujungnya.

"Namun kita menerima baik apa yang telah dilakukan rakyat di negara ini iaitu kita kena menghormati keputusan yang telah dilakukan oleh pengundi di negara ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Warisan di Kolombong di sini, pada Ahad.

Bercakap mengenai sokongan yang akan diberikan kepada mana-mana pihak untuk membentuk kerajaan, beliau menegaskan bahawa kepentingan untuk negeri Sabah harus diutamakan terlebih dahulu.

"Seperti yang saya nyatakan di peringkat awal pertama ialah kepentingan Sabah sebagai Borneo Blok. Walaupun jumlahnya kecil iaitu tiga sahaja kerusi yang kita menangi, namun ia boleh menambah kestabilan politik di negara ini. Sesiapa saja yang membentuk kerajaan sudah tentu memerlukan sokongan daripada parti-parti seperti Warisan.

"Di samping itu juga keadaan kestabilan politik negara Malaysia yang menjadi keutamaan kepada kita kerana banyak masalah ekonomi yang perlu diatasi dalam jangka masa lima tahun. Kita tidak boleh membuang masa hanya memikirkan pergolakan politik yang ada.

Artikel Berkaitan:

"Jadi tentang sama ada mereka berhubung memang biasalah, sama ada saya dihubungi atau timbalan saya, Datuk Darell Leiking (dihubungi), perkara ini kita perhalusi," jelasnya.

Ditanya mengenai penerimaan di peringkat Semenanjung berikutan keputusan PRU yang tidak memberangsangkan bagi Warisan, Mohd Shafie menafikan bahawa partinya itu tidak diterima di Semenanjung.

"Saya melihat di beberapa kawasan seperti di Pandan dan di Wangsa Maju ada juga jumlah undi yang beribu, jadi kita tak boleh katakan bahawa tidak ada penerimaan langsung.

"Dalam pilihan raya ini mengambil proses dan masa untuk masyarakat dan pengundi mengenali siapa calon, parti apa dan juga manifesto," katanya