Senegal tekad kejutkan Belanda

Van Gaal (kiri) dan Aliou Cisse.
Van Gaal (kiri) dan Aliou Cisse.
A
A
A

PENGENDALI Senegal, Aliou Cisse tekad mahu meneruskan rekod sempurna pasukannya pada perlawanan pembukaan Piala Dunia apabila berdepan pasukan pilihan, Belanda di Stadium Al Thumama, Selasa ini.

Juara Afrika itu sebelum ini tidak pernah tewas dalam dua aksi pembukaan mereka apabila memperoleh kemenangan mengejut 1-0 ke atas penyandang juara dunia Perancis pada 2002 dan menang 2-1 mengatasi Poland pada 2018.

Menurut Cisse, beliau berharap pemain-pemainnya dapat mengekalkan rekod tersebut pada edisi kali ini meskipun hadir tanpa khidmat penyerang utama, Sadio Mane yang mengalami kecederaan kaki.

“Sasarannya adalah untuk melepasi kumpulan ini. Kami akan membuat impak di kejohanan ini selepas tersingkir di peringkat kumpulan sebelum ini.

“Saya tahu pasukan lain sudah tentu ada yang mengintai peluang ke pusingan 16 terakhir, suku akhir, tetapi kami akan mengharunginya satu perlawanan demi satu perlawanan,” katanya.

Dalam pada itu, jurulatih Belanda, Louis Van Gaal mengakui ia bukan tugas mudah untuk Belanda mara lebih jauh di Piala Dunia kali ini kerana beliau memerlukan lebih daripada sekadar bakat sekiranya mahu menjulang trofi buat kali pertama bersama The Oranje.

“Saya tidak fikir kami memiliki pemain terbaik di dunia dalam pasukan kami. Tetapi saya percaya dengan kekuatan sepasukan dan dari segi taktik. Saya percaya kami boleh pergi jauh.

“Tetapi kami juga memerlukan tuah, ia juga penting. Saya percaya dengan imaginasi, kami mungkin boleh muncul juara dunia pada hujung kejohanan ini nanti,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Untuk rekod, Belanda tidak pernah kalah dalam empat perlawanan menentang lawan dari Afrika pada pusingan akhir, manakala Senegal menang dua dan seri sekali menentang pasukan Eropah di peringkat kumpulan.