PRU15: Permatang Pauh berubah hasil perjuangan BN

Mohd Zaidi (tengah) bersama jentera BN sewaktu proses penamaan calon PRU15 yang diadakan di IKBTN Bukit Mertajam pada 5 November lalu.
Mohd Zaidi (tengah) bersama jentera BN sewaktu proses penamaan calon PRU15 yang diadakan di IKBTN Bukit Mertajam pada 5 November lalu.
A
A
A

PERMATANG PAUH - Bekas calon BN, Datuk Mohd Zaidi Mohd Said menyifatkan slogan Permatang Pauh Berubah yang diperjuangkannya sepanjang kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum ini berhasil walaupun kemenangan tidak berpihak kepadanya.

Menurutnya, perjuangan BN untuk mengajak rakyat di kawasan itu berubah boleh dianggap berjaya kerana pengundi di kawasan itu telah membuktikan tidak mahu lagi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan memilih calon Perikatan Nasional (PN) dalam PRU15.

"Kerana hujah kita saban hari menyerang Pakatan Harapan (PH) malah selama 23 tahun, akhirnya kita berjaya kejutkan rakyat.

"Tahniah PN kerana akhirnya berjaya menumbangkan PH di kerusi Permatang Pauh," tulisnya di Facebook miliknya pada Ahad.

Pada Sabtu, pengundi Permatang Pauh telah membuat perubahan apabila tidak lagi memilih calon PKR, Nurul Izzah Anwar yang mewakili Pakatan Harapan (PH) pada proses pengundian yang dijalankan.

Kerusi Permatang Pauh yang sekian lama dikuasai oleh legasi keluarga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 40 tahun lalu akhirnya ditawan oleh PN selepas calonnya, Muhammad Fawwaz Mat Jan menang dengan majoriti 5,272 undi.

Muhammad Fawwaz memperoleh 37,638 undi sementara Nurul Izzah, yang juga Naib Presiden PKR, mendapat 32,366 undi manakala calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd Zaidi Mohd Said (16,971 undi) dan Mohd Nasir Othman (Pejuang).

Mengulas mengenai keputusan itu, Mohd Zaidi berkata, beliau reda dengan ketentuan apabila kemenangan tidak memihak kepadanya namun dalam masa sama bersyukur kerana ALLAH masih sayangkan BN.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ada rahsia ALLAH untuk BN menjadi parti paling bernilai ketika ini kerana walaupun PN dan PH banyak menguasai kerusi Parlimen namun mereka tidak mampu bergembira bagi membentuk kerajaan.

Tambah beliau, walaupun BN kalah namun tidak perlu bersedih kerana mungkin BN akan menjadi sebahagian dari kerajaan juga.

Namun katanya, PH atau PN yang dikatakan menang besar akhirnya salah satu daripadanya akan juga menjadi pembangkang.

Sementara itu, Mohd Zaidi yang juga Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh berkata, memberi peringatan kepada pucuk pimpinan parti supaya membuat keputusan dengan memandang ke depan dan bukannys untuk menjaga hati mana-mana pihak.

"Jaga hati ahli UMNO dahulu kerana itu kewajipan kerana hati rakyat sentiasa boleh berubah-ubah.

"Jadi sebahagian dari pemerintah dan jaga rakyat, UMNO akan kembali bangkit," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Zaidi berkata sekiranya PH dan PN bergabung dalam membentuk kerajaan, UMNO dan BN pastinya akan menjadi pembangkang yang bermaruah nanti.