PRU15: Dua daripada lima calon menang kerusi DUN, Parlimen

Tuan Ibrahim dan Kor Ming
Tuan Ibrahim dan Kor Ming
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua daripada lima calon yang bertanding bagi kedua-dua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjaya meraih kemenangan bagi kedua-dua kerusi tersebut.

Mereka ialah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (Pas) mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon Pakatan Harapan (PH) Nga Kor Ming.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air menang di Parlimen Kubang Kerian dengan majoriti 40,847 undi sekali gus mempertahankan kerusi Parlimen itu yang disandangnya sejak PRU14.

Beliau yang turut bertanding di DUN Cheka, Pahang, buat kali pertama, berjaya mendapat mandat daripada pengundi kawasan tersebut dengan majoriti 1,223 undi.

Sementara itu, Kor Ming yang merupakan penyandang Parlimen Teluk Intan mengekalkan kubu PH di kawasan Parlimen itu dengan majoriti 15,169 undi, setelah menewaskan tiga pesaingnya selain merangkul kemenangan di DUN Kepayang dengan majoriti undi sebanyak 9,491.

Calon PH Tengku Zulpuri Shah Raja Puji pula menang di DUN Tras dengan 11,397 majoriti undi dalam perlawanan empat penjuru, namun gagal merampas kerusi Parlimen Lipis yang merupakan kubu kuat BN.

Calon PH Arastam Pandorong dan calon Bebas, Datuk Zahidi Zainul Abidin gagal meraih kemenangan, masing-masing di kerusi Parlimen Semporna dan DUN Bugaya, Sabah serta kerusi Parlimen Padang Besar dan DUN Titi Tinggi, Perak.

Bagaimanapun, sembilan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri yang tidak dibubarkan DUNnya berjaya memperoleh kemenangan di kerusi Parlimen masing-masing.

Antaranya, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang merupakan ADUN Sungai Tua berjaya menamatkan penguasaan tiga penggal guru politiknya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Parlimen Gombak dengan majoriti 12,729 undi.

Artikel Berkaitan:

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow (ADUN Padang Kota) menang besar di Parlimen Batu Kawan dengan majoriti 40,400 undi.

Di Negeri Sembilan, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (ADUN Sikamat) menang di Parlimen Port Dickson dengan meraih 23,601 majoriti undi, ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan dan ADUN Serting Datuk Shamshulkahar Mohd Deli pula masing-masing mengekalkan penguasaan BN di Parlimen Rembau (majoriti 19,897) dan Parlimen Jempol (majoriti 5,857).

Sementara itu, ADUN Senaling, Datuk Adnan Abu Hassan dan ADUN Gemencheh, Datuk Isam Mohd Isa masing-masing berjaya merampas Parlimen Kuala Pilah (majoriti 6,483) dan Parlimen Tampin (majoriti 1,276).

Penyandang Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook yang juga ADUN Chennah mempertahankan kawasannya dengan majoriti undi sebanyak 30,841 dalam perlawanan lima penjuru.

Parti Amanah Negara yang meletakkan Naib Presiden, Adly Zahari (ADUN Bukit Katil) berjaya merebut kerusi Parlimen Alor Gajah daripada PN dengan 890 majoriti undi.

Enam negeri yang tidak membubarkan DUN atas alasan mahu memberi laluan kepada pemimpin di negeri itu untuk fokus kepada kebajikan rakyat dan bencana banjir ialah Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan

DUN Johor, Melaka, Sabah dan Sarawak pula baru mengadakan Pilihan Raya Negeri dan belum mencapai tempoh matang.

PRU15 kali ini menyaksikan PH memenangi 82 kerusi Parlimen, PN (73), BN (30), GPS (22), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) (6),Warisan (3), PBM satu kerusi dan dua orang calon bebas memenangi kerusi. - Bernama