PRU15: BN berputih mata di Melaka

Peti-peti undi bagi Parlimen Alor ketika tiba di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Maktab Mahmud Alor Setar pada Sabtu. Foto Bernama.
Peti-peti undi bagi Parlimen Alor ketika tiba di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi Dewan Maktab Mahmud Alor Setar pada Sabtu. Foto Bernama.
A
A
A

MELAKA - BN Melaka kempunan kerusi Parlimen di negeri ini selepas PH dan PN berjaya menawan tiga kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

Tiga kerusi yang dimenangi PN di Parlimen Masjid Tanah, Parlimen Jasin dan Parlimen Tangga Batu manakala PH mengekalkan kerusi di Parlimen Hang Tuah Jaya dan Kota Melaka selain menawan Parlimen Alor Gajah.

Kekalahan BN itu termasuk di Parlimen Masjid Tanah yang menyaksikan calon PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga penyandang kerusi itu berjaya mengekalkan kemenangan selepas memperolehi sebanyak 25,604 undi dengan majoriti 4,411 undi.

Manakala calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah sekadar memperolehi 21,193 undi diikuti calon Muda, Mutalib Uthman mendapat 7,445 undi sementara calon (Pejuang), Handrawirawan Abu Bakar hanya memperolehi 507 undi sahaja.

Selain itu PN turut membuat kejutan apabila kerusi Parlimen Jasin yang juga merupakan kubu kuat BN berjaya dirampas calon PN, Zulkifli Osman yang juga Timbalan Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat dengan memperolehi 27,893 undi.

Manakala calon BN, Datuk Roslan Ahmad terpaksa akur menerima kenyataan selepas memperolehi 27,571 undi.

Kerusi Parlimen Tangga Batu berjaya dirampas PN dari PH dengan kejayaan calon PN Bakri Jamaluddin memperolehi 37,406 undi.

Sementara penyandang kerusi itu Rusnah Aluai dari PH hanya memperolehi 28,557 undi. Kerusi itu turut menyasikan calon BN, Datuk Lim Ban Hong memperolehi 25,095 undi.

Artikel Berkaitan:

Nasib yang sama turut menimpa BN di Parlimen Alor Gajah apabila calon PH yang juga bekas Ketua Menteri, Adly Zahari mendahului calon lain selepas memperolehi 28,178 undi sekali gus mengalahkan calon BN, Shahril Sufian Hamdan 27,288 undi.

Manakala penyandang kerusi itu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof gagal mempertahankan kerusinya selepas memperolehi 17,211 undi.

PH turut mengulangi kejayaan apabila berjaya mempertahankan kubu kuat mereka di Parlimen Kota Melaka selepas penyandang kerusi itu, Khoo Poay Tiong mempolehi 73,999 undi sekali gus menewaskan tiga lawannya.

Sementara di Parlimen Hang Tuah Jaya, PH yang meletakkan calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd. Halim berjaya mengulangi kemenangan PH di kerusi yang ditinggalkan penyandang, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin dengan majoriti 8,638 undi.

Adam yang pertama kali berada di pentas Parlimen memperolehi 39,418 undi menewaskan calon BN yang juga Ketua Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Ridhwan Mohd Ali dan Ketua Bahagian Bersatu Hang Tuah Jaya, Azrudin Md Idris serta calon (Pejuang) Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh dalam pertembungan empat penjuru itu.