PRU15: MB Perlis baharu dari Pas

Keputusan PRU15 menyaksikan PN berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi 14 kerusi DUN. - Foto Bernama.
Keputusan PRU15 menyaksikan PN berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi 14 kerusi DUN. - Foto Bernama.
A
A
A

KANGAR - Perikatan Nasional (PN) negeri meletakkan sepenuh kepercayaan kepada kepimpinan Pusat dalam menentukan calon Menteri Besar Perlis yang baharu.

Pengerusi PN negeri, Mohd Shukri Ramli berkata, pihaknya masih menunggu watikah daripada peringkat pusat berhubung perkara tersebut.

"Kita masih menunggu watikah daripada pusat. Kita tidak mencadangkan sesiapa, tunggu lantikkan daripada pusat.

"Katanya, watikah itu telah dihantar menuju ke Perlis. Yang pasti, Menteri Besar yang baharu daripada Pas," katanya kepada pemberita di sinì pada Ahad.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan PN berjaya membentuk kerajaan negeri yang baharu selepas memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Hanya satu kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH) di kerusi DUN Indera Kayangan manakala legasi BN sejak 65 tahun lalu runtuh.

PN juga berjaya mengusai ketiga-tiga kerusi Parlimen yang dipertandingkan di Perlis pada PRU15.

Mohd Shukri memberitahu, gabungan tersebut dijangka akan menghadap Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, Arau pada Isnin ini untuk mendapatkan perkenan calon Menteri Besar.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau yang memenangi kerusi DUN Sanglang menyifatkan kemenangan besar di Perlis adalah kerana gelombang rakyat yang mahukan perubahan.

"Untuk menumbangkan BN sampai tahap 17 (kerusi PN) - 1 (kerusi PH) ini memang tidak dijangka. Kami sangka setakat majoriti mudah sahaja.

"Tapi gelombang rakyat ini tidak boleh ditahan lagi. Jadi saya berterima kasih kepada semua rakyat Perlis," ujarnya.