Banjir: 32 kawasan masih dalam pemantauan

Antara kawasan yang terjejas di sekitar Bestari Jaya, Selangor pada Sabtu. (Gambar kecil: Norazam)
Antara kawasan yang terjejas di sekitar Bestari Jaya, Selangor pada Sabtu. (Gambar kecil: Norazam)
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 32 kawasan masih dalam pemantauan banjir di seluruh Selangor pada Sabtu.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, setakat ini kesemua kawasan terbabit masih terkawal dan pihaknya sentiasa melakukan pemantauan secara berkala.

"Berdasarkan rekod setakat jam 8 pagi, masih terdapat 32 kawasan yang berada dalam pemantauan banjir membabitkan sekitar Sepang, Sungai Besar, Kuala Selangor, Tanjung Karang, Bestari Jaya dan Shah Alam.

"Jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) seramai 1,153 orang terdiri daripada 299 keluarga," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Norazam berkata, jumlah PPS yang masih aktif pula sebanyak 13 iaitu Masjid Kampung Johan Setia, Dewan Taman Gemilang, Dewan Orang Ramai Dengkil (Cemperai), Dewan Orang Ramai Bukit Changgang, Sekolah Rendah Agama Dato Ahmad Razali, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dengkil dan Sekolah Kebangsaan (SK) Labu Lanjut.

Menurutnya, PPS lain adalah di Dewan MPKK Kampung Labu Lanjut, Dewan Hala Cara Baru, SMK Jeram, Dewan BNO, SK Bandar Baru serta Balai Raya Kampung Blok A Sawah Sempadan.

"Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor telah menempatkan 90 anggota untuk rondaan berkala selain turut menempatkan 10 aset bot serta 10 jentera," ujarnya.

Artikel Berkaitan: