PRU15: Kawasan tumpuan di Kelantan mulai sesak

Suasana di bandar Kota Bharu sesak dengan penambahan kenderaan perantau. Gambar kecil dari kiri: Che Ghani Mohd Nor, Muhammad Afham Nuruddin Nilman, Azimah Mat Jusoh
Suasana di bandar Kota Bharu sesak dengan penambahan kenderaan perantau. Gambar kecil dari kiri: Che Ghani Mohd Nor, Muhammad Afham Nuruddin Nilman, Azimah Mat Jusoh
A
A
A

KOTA BHARU - Beberapa kawasan tumpuan di negeri ini mulai sesak dengan kehadiran orang ramai iaitu pengundi yang pulang untuk menunaikan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu ini.

Tinjaun Sinar Harian di bandar Kota Bharu mendapati beberapa kawasan sesak dengan pertambahan kenderaan yang ketara dan sebahagian daripadanya adalah pengundi luar yang telah tiba di kampung halaman.

Sementara itu, beberapa orang pengundi luar yang ditemui menyatakan mereka teruja dan tidak sabar untuk menunaikan tanggungjawab mengundi bagi PRU15.

Pelajar, Azimah Mat Jusoh, 21, yang sedang menyambung pengajian di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jengka memberitahu, dia merupakan antara pengundi kali pertama dan teruja untuk keluar mengundi.

“Ini merupakan kali pertama saya akan keluar mengundi dalam PRU15. Memang teruja sangat-sangat dan boleh dikatakan setiap hari saya menghitung tarikh untuk mengundi,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Muhammad Afham Nuruddin Nilman, 22, yang menuntut di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berkata, dia juga teruja kerana merupakan kali pertama mengundi.

“Saya tiba di kampung halaman pada Rabu lagi. Balik awal sedikit untuk mengelakkan daripada jalan sesak. Sempena PRU ini saya akan keluar mengundi untuk menjalankan tanggungjawab kepada negara,” katanya.

Dalam pada itu, kakitangan swasta Che Ghani Mohd Nor, 45, yang tinggal di Shah Alam memberitahu, dia tidak pernah ketinggalan untuk keluar mengundi pada setiap kali PRU diadakan.

Artikel Berkaitan:

“Setiap kali PRU memang saya akan pulang ke kampung halaman untuk mengundi bagi memilih kerajaan yang akan mentadbir negara kita kelak.

“Saya balik seorang sahaja ke Kelantan sebab isteri saya balik mengundi di Pahang. Kami sekeluarga memang menjalankan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” katanya.

Caption pic 4- Suasana di bandar Kota Bharu sesak dengan jumlah kenderaan yang bertambah