Lebih banyak insentif untuk penjaja, peniaga kecil: PM

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2022 pada Jumaat berkata, kerajaan akan menyediakan lebih banyak insentif untuk penjaja dan peniaga kecil di Malaysia.

"Terima kasih kerana membantu memperkasakan ekonomi negara. Insya-ALLAH lebih banyak insentif yang bakal saya laksanakan untuk penjaja dan peniaga kecil di Malaysia,” katanya dalam satu catatan di laman Facebooknya pada Jumaat.

Mengucapkan Selamat Hari Penjaja dan Peniaga Kecil 2022 kepada semua penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara, Ismail Sabri dalam catatan itu berkongsi kisah bahawa beliau juga pernah menjadi penjaja dan oleh itu, peka dengan keperluan golongan tersebut.

"Kerajaan sentiasa berusaha mengangkat dan mengetengahkan peranan komuniti penjaja dan peniaga kecil untuk sama-sama memacu kemakmuran negara,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, pelbagai kemudahan disediakan kerajaan termasuk pengurangan 50 peratus sewaan premis, pengecualian sewaan tapak berniaga serta pengecualian fi lesen penjaja dan peniaga kecil sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan.
Artikel Berkaitan:


Program Pendigitalan Penjaja dan Peniaga Kecil Warongku membantu golongan penjaja untuk mendigitalkan perniagaan mereka, selain inisiatif program pembiayaan mikro tanpa faedah berjumlah RM50,000 secara dalam talian bertujuan membantu penjaja dan peniaga kecil, katanya. - Bernama