PRU15: Tiada cawangan Bersatu Hulu Terengganu dibubarkan

Mohd Zawawi
Mohd Zawawi
A
A
A
KUALA TERENGGANU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Hulu Terengganu menafikan laporan media yang mendakwa empat cawangan Bersatu di Hulu Terengganu dibubarkan.

Setiausaha Bersatu Bahagian Hulu Terengganu, Mohd Zawawi Ismail berkata, laporan yang mendakwa empat cawangan Bersatu iaitu di Kampung Bukit Apit, Felda Mengkawang, Pengkalan Ajal dan Kampung Payang Kayu dibubarkan sama sekali tidak benar serta tidak berasas.

"Semua empat cawangan Bersatu berkenaan masih wujud dan mempunyai ramai ahli yang aktif.

"Dakwaan itu hanyalah gimik politik murahan individu terdesak yang berniat jahat menjatuhkan moral serta kesatuan jawatankuasa dan ahli Bersatu Bahagian Hulu Terengganu menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15, (PRU15) esok," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.



Menurutnya, individu yang mendakwa cawangan Bersatu dibubarkan dan ditutup sebenarnya ahli jawatankuasa yang bermasalah dan tidak memahami perlembagaan parti serta undang-undang pertubuhan.

"Mereka tiada hak dan kuasa untuk membubarkan atau menutup mana-mana cawangan atau bahagian parti. Pengunduran beberapa ahli jawatankuasa cawangan yang bermasalah itu tidak memberi kesan atau menjejaskan parti.

"Untuk makluman, bekas Setiausaha Bersatu Bahagian Hulu Terengganu, Zamani Mamat telah lama meninggalkan parti selepas tewas kepada Datuk Rosol Wahid dalam pemilihan jawatan Ketua Bahagian manakala bekas Pengerusi Penyelaras Bersatu DUN Ajil, Alias Abdullah adalah ahli yang tidak aktif," jelas beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, seluruh Bersatu Bahagian Hulu Terengganu termasuk 15 cawangan menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Rosol sebagai Ketua Bahagian yang juga calon Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15.

Justeru, katanya, pihak berkenaan diingatkan supaya tidak membuat kenyataan tidak berasas mengenai Bersatu Hulu Terengganu semata-mata memenuhi agenda politik pihak tertentu.

Sebelum ini, media melaporkan empat daripada 15 cawangan Bersatu Bahagian Hulu Terengganu ditutup dengan ahli jawatankuasa cawangan berkenaan berikrar menyokong calon BN Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat pada PRU15 membabitkan Cawangan Kampung Bukit Apit, Felda Mengkawang, Pengkalan Ajal dan Kampung Payang Kayu.
Artikel Berkaitan:


Antara pemimpin yang berikrar menyokong Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong adalah Zamani dan Alias.