PRU15: Pilih pemimpin berintegriti, amanah - MBM

PRU15 cipta sejarah kerana buat pertama kalinya pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi. (Gambar dalam : Hasnul)
PRU15 cipta sejarah kerana buat pertama kalinya pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi. (Gambar dalam : Hasnul)
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Belia Malaysia (MBM) menggesa pengundi muda membuat pertimbangan yang bijak dan tenang tanpa dipengaruhi sesiapa ketika mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu ini.

Setiausaha Agungnya, Hasnul Haniff berkata, pengundi muda juga perlu menggunakan fikiran yang waras dan bijak dalam menentukan pilihan ketika mengundi.

“PRU15 merupakan pilihan raya yang amat genting kepada negara setelah sepenggal yang lalu negara berhadapan dengan kecelaruan ekoran ketidakstabilan politik yang merugikan rakyat dan negara.

“MBM sebagai badan induk pertubuhan belia mewakili suara anak muda dari pelbagai agama, kaum dan latar belakang di negara ini menyeru kepada seluruh rakyat khususnya golongan belia supaya keluar mengundi bagi menunaikan tanggungjawab kita kepada negara. Setiap undi akan menentukan kepimpinan negara seterusnya menentukan hala tuju negara di masa hadapan.

“Pilihlah pemimpin yang berintegriti dan amanah serta mampu mentadbir dengan baik. Mengundilah dengan bijak dan tenang tanpa dipengaruhi sesiapa, ingatlah, satu undi anda memberi kesan kepada masa depan kita semua,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambahnya, PRU15 juga menyaksikan pertambahan ketara calon-calon muda diketengahkan oleh parti-parti bertanding, sekali gus menyaksikan ia sebagai satu pendekatan yang positif serta membuktikan jelasnya semua parti politik mengiktiraf sumbangan dan peranan anak muda dalam landskap politik negara.

PRU ini juga katanya turut mencipta sejarah kerana buat pertama kalinya pengundi berumur 18 tahun dibenarkan mengundi selepas Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) dikuatkuasakan pada 15 Disember 2021 setelah diluluskan Parlimen Malaysia.

“Sudah pasti, peluang ini perlu dimanfaatkan sebaiknya dalam memastikan hak dan kehendak golongan muda terhadap pentadbiran negara didengari dan direalisasikan.

Artikel Berkaitan:

“Marilah kita bersama-sama membuktikan bahawa belia bukanlah golongan yang banyak memberi masalah tetapi belia yang akan menentukan kejayaan dan kemakmuran sesebuah negara,” katanya.