'Inilah iltizam saya untuk Malaysia'

ISMAIL SABRI
ISMAIL SABRI
A
A
A

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyenaraikan empat iltizamnya untuk Malaysia sekiranya terus dipilih oleh rakyat bagi menerajui negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Empat keazaman itu ialah menyatupadukan rakyat demi kesejahteraan dan kebajikan Keluarga Malaysia, menyuburkan kemakmuran ekonomi dan pembangunan negara, memelihara kesucian agama Islam tanpa meminggirkan agama lain selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta memperkasa integriti tadbir urus negara.

“Inilah iltizam saya untuk Malaysia, demi kestabilan dan kemakmuran masa depan tanah air kita.

“Saya, Ismail Sabri Yaakob dengan rendah diri memohon kepada semua pengundi untuk memberi kepercayaan kepada saya dan Barisan Nasional (BN) menerajui negara bagi penggal akan datang.

“Semoga ALLAH SWT terus merahmati serta memelihara negara dan Keluarga Malaysia.

“Ya ALLAH, sesungguhnya kepada-Mu kami berserah. Undilah BN. Terima kasih Keluarga Malaysia!” katanya dalam video Amanat PRU pada Khamis.

Amanat PRU oleh Ismail Sabri menerusi video pada Khamis.
Amanat PRU oleh Ismail Sabri menerusi video pada Khamis.

Ismail Sabri berkata, sejak mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 21 Ogos tahun lalu, tanggungjawabnya menerajui negara bukanlah mudah.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, katanya, sebagai Perdana Menteri ketiga dipilih dalam satu penggal yang sama, peralihan tiga kerajaan dalam tempoh tiga tahun merupakan episod gelap kepada negara.

“Waktu itu kita berdepan ancaman pandemik Covid-19. Jumlah pesakit harian mencecah puluhan ribu, mengorbankan ratusan rakyat sehari dan menyebabkan fasiliti perubatan hampir lumpuh.

“Tidak cukup dengan itu, negara berhadapan krisis ekonomi. Jumlah pengangguran meningkat lebih 700,000 orang, banyak sektor perniagaan terpaksa gulung tikar dan rakyat hilang mata pencarian,” ujar beliau.

Disebabkan itu, Ismail Sabri menjelaskan, dengan tekad teguh untuk memulihkan negara sebagai seperti sebuah keluarga, pentadbiran di bawah terajunya melancarkan Inisiatif Keluarga Malaysia.

Menerusi langkah tersebut, katanya, kerajaan berjaya mencapai secara bersama pelaksanaan 15 inisiatif sepanjang 15 bulan tempoh pentabiran beliau.

Ismail Sabri tekad memulihkan negara sebagai seperti sebuah keluarga dengan melancarkan inisiatif Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri tekad memulihkan negara sebagai seperti sebuah keluarga dengan melancarkan inisiatif Keluarga Malaysia.

“Hari ini, keadaan bertambah baik dan kita mampu bergerak maju ke hadapan, namun masih banyak yang perlu kita laksanakan untuk menjadi sebuah negara bangsa yang teguh bersama dan kembali dihormati di persada dunia.

“Pada 19 November ini, Keluarga Malaysia akan melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan negara ini terus ditadbir dengan baik,” katanya.