PRU15: Anwar sudah ketandusan modal - Muhyiddin

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

PAGOH - [DIKEMAS KINI] Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ketandusan modal untuk kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, tiada apa yang disembunyikan PN dan penyata akaunnya boleh diakses orang ramai.

“Kita sebagai pertubuhan politik berdaftar, kita patuh kepada undang-undang dan setiap parti mesti ada perhimpunan agung dan dalam perhimpunan agung, antara lain ialah membentangkan penyata tahunan.

“Ia boleh dilihat oleh sesiapa pun kerana ia sudah diaudit. Tidak tahu kalau PKR tak audit. Saya audit betul-betul apa saja perbelanjaan, satu sen, dua sen, RM100, RM200,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama penduduk Kampung Jawa.

Muhyiddin berkata demikian susulan kenyataan terbaharu Anwar yang mencabar PN mendedahkan penyata akaunnya.

Anwar sebelum ini mendakwa PN sebagai gabungan politik terkaya ketika ini kerana mendapat banyak projek berbilion ringgit ketika pandemik Covid-19.

Anwar yang juga Presiden PKR mendakwa Muhyiddin yang menjadi Perdana Menteri ketika itu, mengeluarkan banyak projek tanpa tender kepada pihak tertentu.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Muhyiddin mencabar Anwar mendedahkan penyata akaun partinya.

Cabaran itu disahut Anwar dengan syarat calon PN Parlimen Pagoh itu melakukan perkara sama.

Muhyiddin berkata, penyata akaun partinya sudah disahkan dan dihantar kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

“Setakat hari ini, tidak ada kenyataan RoS mengatakan laporan tahunan parti saya ini tak sah. Lihatlah di situ,” katanya.

Sementara itu, semasa berucap dalam Jelajah PN Best Final di Pagoh, Muhyiddin berkata, Anwar telah meningkatkan serangan terhadapnya selepas menyedari majoriti rakyat Malaysia tidak akan menyokong PH pada hari pengundian pada Sabtu ini.

Katanya, disebabkan itu, Anwar bertubi-tubi membuat serangan terhadapnya kerana mahu beliau tersungkur.

“Beliau (Anwar) telah membuat pelbagai dakwaan terhadap saya. Dia nampak parti dia tak dapat tarikan majoriti rakyat.

"Jadi serang saya berhabis-habisan supaya saya jatuh dan dia jadi Perdana Menteri," katanya.

Dalam pada itu, Muhyiddin menafikan segala dakwaan yang dibuat Anwar sebelum ini mengenai beliau ada mengambil tanah dan duit semasa menjadi Menteri Besar di Johor.

Beliau menegaskan dakwaan Anwar itu disifatkan sebagai fitnah.

"Allahi saya tak buat begitu, tuduhan Anwar merupakan satu fitnah.

"Fitnah itu lebih dasyat daripada membunuh. Dia ada satu tahap 'gaban' dia dah 'seriau', hari tinggal beberapa jam lagi orang nak mengundi, dia nampak parti dia tak dapat tarikan majoriti rakyat," katanya.