Imigresen tidak pernah lantik pihak ketiga mohon pasport

Khairul Dzaimee
Khairul Dzaimee
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen Malaysia) menegaskan bahawa tidak ada mana-mana pihak ketiga yang dilantik bagi menguruskan sebarang perkhidmatan berkaitan permohonan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

Baru-baru ini tular satu video berdurasi satu minit 20 saat di TikTok memaparkan seorang wanita mempersoalkan tindakan pihak ketiga yang menawarkan perkhidmatan berkaitan permohonan PMA malah mendakwa mendapat kelulusan daripada Imigresen Malaysia untuk beroperasi.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya mengambil maklum berkenaan video tular berkenaan dan mengucapkan terima kasih kepada pemilik akaun TikTok berkenaan yang prihatin akan isu terbabit.

"Imigresen Malaysia menegaskan bahawa tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga, syarikat atau orang perseorangan bagi menawarkan perkhidmatan permohonan PMA secara dalam talian dan mengenakan bayaran atas perkhidmatan tersebut

"Dalam isu video ini, jabatan ini telah menjalankan siasatan dan tindakan telah diambil kepada pihak ketiga tersebut," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Khairul Dzaimee berkata, semakan mendapati kebenaran yang diberikan kepada pihak ketiga berkenaan hanya bagi menjalankan perkhidmatan mengambil gambar dan fotostat dokumen sahaja.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya telah menarik balik kebenaran terbabit bagi mengelakkan salah faham kepada orang awam.

"Jabatan ini turut mengarahkan pihak ketiga berkenaan untuk memberhentikan semua perkhidmatan serta merta dan mengosongkan ruang kerja di Pejabat Imigresen UTC Pudu sebelum 18 November.

Artikel Berkaitan:

"Orang ramai dipohon supaya sentiasa cakna dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum bersetuju untuk menerima sebarang perkhidmatan Imigresen dari pihak ketiga. Sebarang maklumat berkaitan sila layari https://www.imi.gov.my/ atau ikuti laman sosial rasmi jabatan," ujar beliau.