WAF mahu ubah wajah Machang

A
A
A

WAN AHMAD FAYHSAL
WAN AHMAD FAYHSAL

Tidak gentar melawan orang lama dalam bidang politik, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal atau lebi dikenali WAF, 35, mempunyai perancangan tersendiri sebagai anak muda dalam Perikatan Nasional (PN).

Memilih untuk menggunakan lambang Pas, beliau sedia membawa perubahan di Machang dan menjanjikan pembangunan mampan di daerah berkenaan.

Ikuti temu bual wartawan Sinar Harian, ASWANY OMAR bersama WAN AHMAD FAYHSAL untuk mengetahui hala tuju calon Parlimen Machang ini jika PN memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu.

SINAR HARIAN: Ramai calon ketika berkempen berjanji mahu meningkatkan pembangunan dan ekonomi. Untuk PN, apakah perkara terbaru yang mahu dikongsi bersama penduduk Machang?

WAN AHMAD FAYHSAL: Sepanjang berkempen di Machang, antara masalah yang kurang diberi perhatian secara serius ialah berkaitan kesihatan masyarakat khususnya golongan warga emas.

Mereka berdepan masalah penyakit. Kualiti hidup mereka juga terkesan apabila dijangkiti dan ini antara faktor taraf kesihatan merosot. Antara keutamaan yang saya nampak ialah perlu ada satu prasarana dan bantuan dalam konteks kesihatan untuk warga Machang.

Artikel Berkaitan:

Antara banyak pandangan yang saya terima daripada rakyat ialah harapan mereka Hospital Machang dinaiktaraf supaya menjadi hospital yang mempunyai ramai tenaga pakar bukan sekadar seperti dikatakan 'hospital panadol', sesuai dengan lokasinya yang sangat strategik di negeri ini kerana berada di tengah negeri dan rakyat tidak perlu bersusah payah ke Kota Bharu atau Kubang Kerian termasuk penduduk Terengganu yang menerima limpahan manfaat ini.

Apakah perancangan drastik dalam tempoh 100 hari jika PN dipilih menerajui Machang?

Sebelum kita beri 'ubat', perlu diteliti dahulu 'penyakitnya'. Jadi, kita akan menyemak semua pelan pembangunan Machang termasuk dalam senarai Rancangan Malaysia ke-11 dan 12 selain status implementasi pelaksanaannya sama ada berjalan lancar atau wujud masalah lain. Kita tidak mahu perkara ini dilengah-lengahkan, mungkin ada faktor lain tetapi ramai yang tidak berpuas hati dengan masalah kelambatan pembangunan di Machang.

Kita juga akan pastikan pemetaan masyarakat dilaksanakan secara lebih adil dan jelas untuk mendapat bantuan selain keperluan petani dan pekebun kecil yang memerlukan kerjasama agensi berkaitan termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Bagaimana gambaran corak pentadbiran PN di Machang jika menang PRU15?

Saya tidak mahu parti politik merajai sektor tertentu dan badan kerajaan dengan menekan golongan tertentu. Ini sebenarnya zaman dahulu kala dan PN tidak mengamalkan kaedah ini untuk mentadbir masyarakat. Saya akan mengubah pentadbiran seperti ini. Bagi saya tiada kasta dan pilih kasih kerana wakil rakyat untuk semua parti. Jadi tiada sekatan untuk guru, penjawat awam memberi sokongan khas kepada saya. Biarlah kerja saya menjadi sandaran dan hujah sama ada saya layak menjadi Ahli Parlimen selepas tempoh lima tahun nanti. Ia terpulang kepada pengundi di sini. Dalam pada itu, golongan bukan Melayu dan bukan bumiputera juga pasti mendapat layanan sama dalam konteks ini.

WAN AHMAD FAYHSAL
WAN AHMAD FAYHSAL

Bagaimana dengan penerimaan anak muda terhadap kempen PN?

Alhamdulillah sangat memberangsangkan. Mungkin faktor umur saya 35 tahun menjadi kelebihan untuk memahami permasalahan mereka. Ada perkara baharu yang akan saya laksanakan iaitu penubuhan Akademi Bola Sepak di Machang yang menjadi antara pembangunan anak muda selain usaha meningkatkan beliawanis. Saya yakin anak muda bersama PN. Ramai yang mahu mengetahui pembangunan yang bakal dilaksanakan untuk menyeimbangkan Machang dengan kawasan sekitar termasuk Tanah Merah.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, Machang memerlukan Sentral Spine yang menjadi kunci utama kepada perancangan ekonomi di sini. Infrastruktur asas ini merupakan jalan utama mempercepatkan perjalanan dari Kelantan untuk ke seluruh negara terutama di pantai timur yang menjadi pemangkin pemodenan di Machang. Sukar juga untuk pelabur bertambah jika perkara ini tidak selesai. Selain itu, Taman Perindustrian Sungai Bagan yang boleh mengurangkan kos pembinaan rumah untuk anak muda juga perlu dimasukkan dalam senarai pembangunan siap di samping memperjuangkan Internet yang menjadi perkara penting dalam konteks pekerjaan, perniagaan dan pendidikan.

Apakah harapan kepada pengundi muda dan mereka yang berada di luar kawasan?

Saya memberi jaminan PN akan memberi perkhidmatan yang jauh lebih baik daripada 10 tahun lalu kerana kami mempunyai falsafah tadbir urus bersih dan stabil. Jadi, untuk anak muda, tiada undi berbelah bagi lagi selepas ini. Kepada anak muda dan pengundi di luar Machang ambil peluang dan pulang mengundi kerana banyak perubahan yang akan dibawa oleh PN jika mereka memberi mandat kepada kami.

PROFIL

Nama: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

Umur: 35 tahun

Jawatan: Ketua Armada Bersatu

Isteri: Dr Siti Nuhara Riduan

Pendidikan: Universiti Teknologi Petronas; King's College,London

Pengalaman: Timbalan Menteri Perpaduan Negara ; Timbalan Menteri Belia dan Sukan;Ahli Dewan Negara。

ADVERTORIAL