PRU15: Agihan sumbangan diluluskan DUN Terengganu

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KOTA BHARU - Dakwaan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang mempertikaikan agihan bantuan oleh kerajaan Terengganu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak berasas apabila ia diluluskan semasa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bantuan itu bukan sahaja diluluskan malah turut dibahaskan semasa sidang berkenaan.

"Saya rasa beliau (Ahmad) mungkin tidur semasa pembentangan itu dilakukan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

"Perkara itu tidak sepatutnya dibangkitkan kerana Ahmad sendiri berada di dalam dewan negeri ketika bajet berkenaan dibentangkan malah turut sama membahaskannya," katanya selepas Ceramah Mega Kubang Kerian Sejahtera di Pasir Tumbuh pada Rabu.

Menurut beliau, sebagai pemimpin Ahmad perlu sedar kerajaan negeri masih boleh melaksanakan apa sahaja yang telah diluluskan kerana DUN tidak dibubarkan.

Ujarnya, peruntukan itu diagihkan mengikut kelulusan yang dibuat semasa sidang DUN.

“Jadi tidak timbul sebarang isu sebenarnya. Cuma mungkin beliau gelabah sedikit sebab dan dekat sangat dengan tarikh PRU15,” ujar beliau.

Media tempatan sebelum ini melaporkan, Ahmad mendakwa Pas melakukan kesalahan rasuah apabila mengagihkan bantuan dalam bentuk wang tunai kepada golongan tertentu menjelang PRU15.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peruntukan bantuan-bantuan yang dikenali sebagai i-Belia, i-OKU, i-Mahasiswa, i-Pencen dan i-Fitri tidak terdapat dalam bajet kerajaan negeri Terengganu lepas.