Rukun Tetangga: Tonggak perpaduan dalam komuniti

Halimah (depan, kanan) ketika melawat Kebun Komuniti di Felda Bukit Easter yang digerakkan oleh Komuniti Rukun Tetangga di sana.
Halimah (depan, kanan) ketika melawat Kebun Komuniti di Felda Bukit Easter yang digerakkan oleh Komuniti Rukun Tetangga di sana.
A
A
A

Ditubuhkan pada tahun 1975 oleh Perdana Menteri Malaysia Ke-2, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein tatkala Malaysia masih lagi berhadapan dengan pelbagai ancaman keselamatan, Skim Rukun Tetangga telah mengalami pelbagai evolusi untuk terus kekal relevan mengikut peredaran zaman.

Diwujudkan di bawah Peraturan-Peraturan Perlu (Rukun Tetangga) dalam Ordinan Darurat 1969, organisasi ini menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada keamanan masyarakat, terutamanya dalam mengekalkan keselamatan di kawasan-kawasan tertentu di seluruh negara.

Salah satu inisiatif untuk komuniti RT Cares.
Salah satu inisiatif untuk komuniti RT Cares.

Setelah 47 tahun penubuhannya, Skim Rukun Tetangga yang kini dikenali sebagai Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah menjalani transformasi yang memberi penekanan terhadap pelaksanaan program dan aktiviti berlandaskan lima teras utama iaitu perpaduan, ekonomi, keselamatan, pendidikan dan kualiti hidup masyarakat setempat.

Apabila tertubuhnya Akta Rukun Tetangga 2012 (Akta 751), peranan yang dimainkan oleh Rukun Tetangga (RT) adalah berpaksikan kepada pembangunan komuniti yang berteraskan peningkatan sosioekonomi dan sahsiah, berbanding sebagai penjaga keselamatan warga di komuniti setempat.

Pada 2021, kerajaan melalui Kementerian Perpaduan Negara (KPN) telah melaksanakan beberapa perubahan signifikan bagi meningkatkan lagi keupayaan RT agar peranannya diperluaskan, menjadi lebih aktif dalam hal-hal berkaitan kebajikan, keselamatan serta pembangunan dengan gerak kerja yang lebih tertumpu dan berkesan.

Peranan utama KRT:

Artikel Berkaitan:

1. Menjalankan aktiviti bagi meningkatkan dan mengukuhkan semangat kejiranan, perpaduan, muhibah, keharmonian, keselesaan, keamanan, kerjasama, keselamatan, kebajikan, kesihatan, kesejahteraan ekonomi dan kualiti hidup masyarakat setempat.

2. Menerima maklumat untuk memerhati dan menyiasat semua isu mengenai konflik masyarakat di dalam kawasan dan melaporkan maklumat, pemerhatian dan penyiasatan itu kepada pihak berkuasa.

3. Mengambil apa jua langkah perlu atau wajar untuk membolehkan pemastautin melindungi diri mereka terhadap apa-apa aktiviti jenayah atau bencana.

4. Menyediakan pengantaraan dalam masyarakat bagi maksud pendamaian atau selainnya, menyelesaikan apa-apa pertikaian atau perselisihan di kalangan anggota masyarakat.

Dikawal selia oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah KPN, peranan organisasi ini dioptimumkan dengan memantau setiap kawasan yang mempunyai RT untuk terus menjalankan aktiviti-aktiviti bersesuaian bagi manfaat masyarakat umum.

Bagi memperkasakan peranan RT, Jentera Rukun Tetangga (JRT) ditubuhkan untuk menyampaikan perkhidmatan yang berkesan dan efisien kepada komuniti. Mereka melaksanakan aktiviti berfokuskan kepada isu-isu dan penyelesaian masalah setempat serta yang bersesuaian dengan kumpulan sasar masing-masing.

SRS membantu pihak berkuasa menangani kegiatan jenayah di kawasan komuniti setempat.
SRS membantu pihak berkuasa menangani kegiatan jenayah di kawasan komuniti setempat.

Empat struktur JRT adalah Skim Rondaan Sukarela (SRS), Skuad Uniti, Mediator Komuniti dan Kelompok Komuniti, yang ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan holistik kepada kehendak dan keperluan semasa komuniti di setiap kawasan RT.

Penubuhan Skim Rondaan Sukarela (SRS):

Membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial di komuniti setempat serta memastikan keadaan kawasan perumahan penduduk aman, sejahtera dan harmoni. SRS juga bertindak menjadi mata dan telinga badan-badan berwajib dan penguat kuasa bagi memastikan keamanan tempat tinggal penduduk selamat dan bebas daripada sebarang kegiatan jenayah.

Skuad Uniti:

Inisiatif yang dibentuk untuk mengurus dan mengurangkan tekanan kepada komuniti sewaktu berlakunya bencana, mengadakan pendampingan sosial (social engagement) dengan pelbagai organisasi dan mengukuhkan semangat kejiranan anggota masyarakat. Skuad ini berperanan sebagai frontliner yang menjadi unit pertama memberi respons sebarang masalah dan memaklumkan kepada pasukan keselamatan mengenai keadaan semasa kawasan yang terkesan.

Mediator Komuniti:

Ditubuhkan sebagai orang tengah kepada pihak-pihak yang bertelagah di dalam komuniti, menjalankan tugas sebagai pemudah cara ataupun pengantara bagi menyelesaikan masalah kumpulan tertentu atau individu yang berlaku. Mereka adalah individu yang berpengaruh dan disegani dari kalangan masyarakat tersebut.

Struktur Kelompok Komuniti:

Membantu Jawatankuasa KRT melaksanakan tugas mengikut kumpulan sasaran masyarakat yang pelbagai. Terdapat empat cabang Kelompok Komuniti iaitu Jiran Wanita khusus kepada golongan wanita di dalam komuniti, Jiran Warga Emas (warga tua), Jiran Muda (kelompok remaja dan belia) serta Tunas Jiran bagi kanak-kanak.

Setelah lebih empat dekad ditubuhkan di Malaysia, KRT adalah satu inisiatif yang berupaya menyumbang kepada pembangunan komuniti sejagat dan relevan dalam mendepani cabaran yang dihadapi negara di masa hadapan.

Program RT Cares

Ketika negara berhadapan ancaman Covid-19, KPN telah melaksanakan Program RT Cares bagi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan komuniti melalui komuniti RT, mengikut konsep RT4ALL iaitu RT untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira perbezaan latar belakang melalui semangat kebersamaan.

Sebagai contoh, Program Perpaduan Komuniti KRT: #Kitabersama: RT CARE Peringkat Negeri Melaka, berkonsepkan ‘social outreach’ komuniti Rukun Tetangga telah dilancarkan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique pada 17 Julai 2021 di Pusat Aktiviti Perpaduan Daerah Alor Gajah, Melaka.

Program MOVAK membantu komuniti mendapatkan vaksin Covid-19.
Program MOVAK membantu komuniti mendapatkan vaksin Covid-19.

Program ini bertujuan menggerakkan bantuan kotak makanan dan Gerobok RT Cares kepada komuniti Rukun Tetangga yang terjejas akibat pandemik yang digerakkan oleh sukarelawan RT.

Selain itu, Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) membantu mempercepatkan pemberian vaksin Covid-19 terutama di kawasan luar bandar dan pinggir bandar. MOVAK membantu kerajaan meningkatkan jumlah pendaftaran dan penerimaan vaksin menerusi gerak kerja tiga unit iaitu unit panggilan, unit mobilisasi dan unit tindakan komuniti.

Program ini turut diperluaskan di bawah program Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dengan seramai 250 orang masyarakat India dari kawasan Ladang Salak, Ladang Silliau dan Ladang Bradwall Port Dickson telah menerima suntikan vaksin Covid-19 dalam Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) kepada Masyarakat India Peringkat Daerah Port Dickson.

Tuntasnya di sini, RT adalah satu aset penting dalam usaha mencapai status negara maju dan berupaya menjadi pemangkin kepada perpaduan negara. KRT perlu diwujudkan di setiap komuniti dan disertai oleh lebih ramai sukarelawan berbilang kaum, bagi menyemarakkan lagi keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat Malaysia.