PRU15: Anwar lihat ada angin perubahan di Kelantan, Terengganu

Anwar
Anwar
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat adanya angin perubahan di Kelantan dan Terengganu melibatkan gabungan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau yang merupakan calon PH Parlimen Tambun berkata, ia berdasarkan kepada sambutan diterimanya sewaktu mengadakan kempen di dua negeri dipimpin oleh kerajaan Pas berkenaan.

Dan kemarahan rakyat dalam isu-isu yang mereka tidak dapat kendalikan dengan baik (seperti) soal air, pembangunan dan pendidikan.

"Sama ada apakah gelombang itu cukup untuk mengalahkan mereka (Pas) saya belum pasti. Tetapi pastinya ada perubahan dan gelombang itu nyata," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual khas yang bertajuk PRU15: 'Grand Finale' Demi Malaysia disiarkan di Astro Awani, pada Rabu.

Tambah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu, cabaran di dua negeri berkenaan juga menarik jika dilihat kepada sambutan yang diterimanya.

"Dalam hujan lebat ribuan orang datang mendengar dan melahirkan rasa gelisah serta kecewa mereka kerana pengabaian daripada negeri," dakwanya.

Menyentuh mengenai kempen menggunakan kaum dan agama, Anwar berpandangan itu merupakan tindakan orang terdesak, rendah akal budi, tidak mempedulikan ajaran agama dan budaya Melayu yang agung.

Artikel Berkaitan:

"Budaya Melayu itu sebenarnya budaya yang terlalu kukuh dan diserapi prinsip akal serta akhlak Islam. Saya tentunya tidak senang kerana ia tidak memberikan imej yang baik," ujarnya.

Anwar berkata, pihaknya terpaksa berdepan dengan masalah ini dan turut keras menangkis serta menyerang semula.

"Kerana saya anggap ini adalah bertentangan dengan kaedah dakwah yang ditekankan dalam Islam," tegasnya.

Beliau dalam masa sama turut melahirkan rasa kagumnya dalam kalangan golongan muda yang turut menangkis perkara ini.

"Saya rasa kagum kerana yang menjawab sekarang ini anak-anak muda petah sekali mengulas, menangkis serta menyerang," katanya.