PRU15: PH Perlis sasar enam kerusi DUN, dua Parlimen

Noor Amin Ahmad
Noor Amin Ahmad
A
A
A

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) Perlis menyasarkan sekurang-kurangnya dapat memenangi enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua Parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri itu yang akan berlangsung pada Sabtu ini.

Pengerusi PH Perlis, Noor Amin Ahmad berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan untuk membentuk kerajaan negeri sama ada secara bersendirian atau berkemungkinan bekerjasama dengan parti-parti lain.

"Bagi calon menteri besar, kita akan bincangkan selepas kita tengok siapa yang menang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel dalam program Sinar Live dikendalikan oleh Kamarul Bahrin Haron yang bertajuk 'Perlis Kekal Atau Berubah?' disiarkan di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panel ialah calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pauh, Syed Atif Syed Abu Bakar.

Noor Amin yang merupakan calon PH bagi Parlimen Kangar turut berpandangan PRU15 kali ini menarik perhatian ramai pihak membabitkan negeri Perlis apabila hampir kebanyakan kawasan berkenaan bertanding melibatkan lebih tiga penjuru.

Selain itu katanya, ia juga menarik perhatian apabila dua 'panglima' BN iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Zahidi Zainul Abidin yang masing-masing penyandang Parlimen Arau dan Padang Besar tidak dicalonkan sehingga mengakibatkan kedua-duanya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) dan Bebas.

"Yang mana saya percaya seluruh perkembangan ini memberikan kesan dan mencorakkan satu dinamik baru kepada negeri Perlis," katanya.

Artikel Berkaitan:

Program Sinar Live yang bertajuk Perlis Kekal Atau Berubah? menampilkan calon PH bagi Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan calon BN bagi DUN Pauh, Syed Atif Syed Abu Bakar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.
Program Sinar Live yang bertajuk Perlis Kekal Atau Berubah? menampilkan calon PH bagi Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad dan calon BN bagi DUN Pauh, Syed Atif Syed Abu Bakar yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.


Enam DUN belum dapat tubuh kerajaan negeri

Sementara itu, Syed Atif berasa lega apabila mendengar PH Perlis hanya menyasarkan untuk memenangi enam kerusi DUN sahaja di negeri berkenaan.

Beliau berkata, dengan kenyataan dibuat Noor Amin itu, ini bermakna gabungan tersebut belum dapat menubuhkan kerajaan selepas PRU15.

"Saya lega dengar apabila PH sebut dia sasarkan enam (DUN) sahaja, maknanya belum dapat menubuhkan kerajaan negeri lagi," selorohnya.

Dalam pada itu, Syed Atif menambah, pada awalnya pihaknya menjangkakan pergolakan BN Perlis membabitkan Parlimen Arau dan Padang Besar memerlukan masa yang panjang.

"Tetapi alhamdulillah dalam masa dua, tiga hari awal kita mampu selesaikan masalah-masalah berkaitan," ujarnya.

Menurutnya, calon-calon BN yang digantikan di negeri Perlis juga bukannya dipilih secara semberono.

"BN cuba mengetengahkan muka-muka baharu yang cukup wibawa untuk ditawarkan kepada para pengundi.

"Yang mana kita mengharapkan hasil daripada itu, calon-calon dan pendekatan BN ini diterima baik oleh masyarakat. Maknanya, kita akan dapat membentuk kerajaan yang cukup stabil, insya-ALLAH," katanya.